Terdahulu, pelakon dan usahawan terkenal Noor Neelofa Mohd Noor mengadakan majlis ilmu khas buat selebriti dan penggiat seni wanita. Namun, apa yang menjadi perhatian apabila seorang pelakon wanita berketurunan Cina Jasmine Suraya Chin yang turut menghadirikan diri secara senyap-senyap untuk datang ke majlis ilmu Hijrah Cinta tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, Jasmine Suraya Chin yang terkenal dengan wataknya sebagai Lily dalam filem PASKAL ini tidak menafikan keinginannya untuk mengetahui mengenai Islam sejak beberapa tahun yang lalu. Dia turut menjelaskan perkara itu merupakan suatu perkata yang bersifat peribadi.
“Secara jujurnya, ini boleh dikatakan sebuah perjalanan yang cukup peribadi untuk saya. Hakikatnya, saya kalau boleh nak simpan hal untuk peribadi saja. Saya pun tak berani nak kecoh sangat.
“Apa boleh saya kata, saya ingin tahu sejak beberapa tahun ini. Saya pun melalui isu peribadi dan jemputan itu datang tanpa disangka. Seorang kawan ajak saya kerana dia tahu saya tertanya-tanya dan mahu tahu lebih lanjut.
“Saya ingin tahu sebab mahu dapatkan kepastian. Apabila kita tiada pegangan, banyak hal dirasakan seperti tak stabil. Mungkin asal-usul saya agak bercelaru dan tidak seimbang, itu yang saya rasa,” katanya.
Ketika mebghadiri majlis ilmu berkenaan, Jasmine tertarik dengan topik yang dibualkan berkenaan Hijrah Cinta berkaitan dengan kisah nabi. Semasa berada di majlis, Jasmine hanya memakai pelitup muka kerana enggan menonjolkan diri.
“Saya rasa ia cukup menarik dan saya pergi. Menariknya, beberapa kisah yang ustazah kongsi ketika itu sangat berkaitan dengan diri saya.”
“Sebenarnya saya tak nak orang tahu saya pergi. Sepanjang majlis pun saya pakai pelitup muka dan ramai tidak cam meskipun ramai sebenarnya kawan saya hadir ketika itu. Saya pun tak berani nak tegur mereka. Saya enggan tonjolkan diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jasmine turut meluahkan rasa terharu dan gembira apabila ada kawan yang mengecam dirinya serta mengalu-alukan kehadiranya di majlis ilmu itu.
“Sangat menggembirakan juga apabila Neelofa alu-alukan saya dan minta saya kongsi kalau ada apa-apa termasuk persoalan. Ia satu perasaan yang cukup tenang.
“Ada perkara yang dikongsi ustazah juga cukup menyentuh saya. Saya tak pernah percaya mengenai sebarang petunjuk. Tapi saya bertanya kepada kawan, adakah itu satu petunjuk?” tambahnya lagi.