Connect with us

Viral

Jumpa 2 Papan Ubat Stapler Dalam Pulut Panggang, Pelanggan Kecewa Peniaga Buat Tak Tahu Bila ‘Complaint’

Bukannya isu yang baharu kita dengar mengenai bendasing yang ada di dalam makanan yang dibungkus lagi-lagi ubat stapler kerana ianya sering digunakan pada bungkusan makanan.

Selalunya kita lihat, hanya satu dakwat stapler sahaja itupun kerana termasuk dalam makanan selepas kita buka bungkusan.

Namun lain pula ceritanya dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang pelanggan menemui dua papan dakwat stapler di dalam makanan mencuri perhatian ramai.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini, kelihatan dua papan dawai kokot itu tertinggal di dalam kuih pulut panggang yang dibeli pelanggan berkenaan.

“Peringatan bersama. Kepada peniaga kuih pulut panggang dan yang seangkatan… mohon lebih berhati-hati ya apabila menggunakan stapler,” kongsi pelanggan berkenaan


Pelanggan wanita tersebut turut berkongsi dua keping gambar menunjukkan dua papan dawai kokot yang ‘terkambus’ di dalam pulut panggang yang dibelinya.

“Alhamdulillah. Tak ada apa-apa yang serius,” sambungnya.

Bagaimanapun pelanggan tersebut meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa peniaga berkenaan bersikap tidak acuh dan tidak mengendahkan aduannya.

“Kepada peniaga… bila orang datang komplen, tolonglah ambil peduli. Ini minta maaf pun tak. Padahal saya tunggu orang tak ada baru saya cakap.

“Dan kepada pembeli seperti saya, lepas ini kita kena berhati-hati beli makanan yang menggunakan stapler ni. Kerana kecuaian kita boleh mengakibatkan kesan yang lebih buruk.

“Peringatan untuk diri saya sendiri. Saya penjual, saya juga pembeli,” tulisnya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen memberikan reaksi masing-masing malah ada juga yang berkongsi pengalaman mereka sendiri yang mana turut menjumpai bendasing di dalam makanan.

“Inilah antara sebab kenapa tak dibenarkan penggunaannya dalam pembungkusan makanan. Bahaya.”

“Pernah beli kuih ada paku. Tergigit ingatkan apa, rupa-rupanya paku.”

“Kadang-kadang yang membuat kuih ni ramai tangannya. Anak-anak cucu pun sama tolong. Benda ni boleh jatuh dalam kuih sebelum dibungkus.”

“Ni nak bagi orang makan ke nak bagi mati?” demikian antara komen netizen.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada awal tahun ini menasihatkan peniaga makanan supaya tidak menggunakan paku, dawai kokot dan seumpamanya untuk membungkus makanan.

Peniaga makanan yang menggunakan barangan berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

Continue Reading
Advertisement