Satu laporan dari Free Malaysia Today menyatakan bahawa sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang telah diperiksa oleh jabatan kesihatan selepas dilaporkan tidak bersih.
Dalam laporan tersebut terdapat beberapa sarang lipas ditemui di sana semasa lawatan mengejut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Bukan sekadar sarang, malah terdapat najis lipas dan air kencing tikus di sekitar premis berkenaan.
Lebih memualkan, najis turut ditemui di beberapa perkakas dapur yang digunakan untuk para pelanggan restoran tersebut.
Menerusi satu tweet dari @redzuanNewsMPB, beliau menyatakan restoran terbabit terletak di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang.
Walaupun beberapa laporan berita dilihat cuba merahsiakan nama restoran itu, namun netizen beranggapan bahawa restoran terbabit adalah Nasi Kandar Beratur yang menjadi tempat tarikan buat pelancong dari bandar jika berkunjung ke Pulau Pinang.
Seorang pengguna Twitter mendedahkan nama restoran berkenaan.
Premis ini diperintahkan tutup dari 8 hingga 21 Januari oleh MBPP semasa operasi kesihatannya dengan notis yang dilekatkan pada pintu hadapan.
Ianya dijangka tutup selama 14 hari bagi aktiviti pembersihan bersama-sama dua kedai rempah lain yang diberi notis yang sama.