Pemergian sutradara tersohor Allahyarham Mamat Khalid masih terasa dalam kalangan rakyat Malaysia, lagi-lagi mereka yang senantiasa menanti-nantikan setiap hasil karya daripadanya.
Sepanjang riwayatnya, beliau berjaya mencetuskan sebuah legasi yang cukup besar terhadap industri penyiaran dan perfileman Malaysia serta masyarakat seanteronya.
Anak keempat Allahyarham Mamat Khalid iaitu Amen Khalid, menggalas tanggungjawab untuk meneruskan legasi arwah ayahnya dengan mengarahkan hasil karya terakhir ayahnya iaitu Kampong Pisang Berbuah Dua Kali dan ini merupakan pengalaman pertama Amen dalam pengarahan filem.
Amen sebelum ini pernah mengarahkan telefilem “Sis Ngesot” dan “Pochong”, yang ditayangkan di saluran ASTRO BOO (404).
Menurut Amen, atau nama sebenar Mohd Khalid Amen, 25, sepanjang proses penggambaran filem berkenaan air matanya sentiasa berlinangan kerana teringat arwah ayahnya.
“Bila terdengar suara dia saya teringat dia.. sebelum ini setiap kali buat suntingan video dia ada belakang saya, sampai sekarang saya boleh dengar seperti dia ada.
“Kadang-kadang tengah duduk dekat monitor semasa penggembaran saya macam terdengar suara dia, memang barai la menangis.
“Sampai sekarang saya masih ingat pesanan papa, dia cakap jangan main-main buat kerja dengan serius dan pegang tanggungjawab baik-baik.
“Arwah juga pernah nasihatkan saya, walau apa pun terjadi cuba yang terbaik dan layankan sahaja cabaran yang mendatang.” katanya ketika sidang media pada 2 Mac, Rabu.
Dalam pada itu Amen meluahkan rasa syukur terhadap ahli keluarga, barisan pelakon dan krew kerana mendapat sokongan hebat daripada mereka sehingga akhir penggambaran tersebut.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan pelakon Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang banyak memberi kerjasama dan bertukar pendapat dalam menjayakan setiap babak. Saya berharap menerusi filem ini akan menjadi permulaan yang baik untuk saya memperjuangkan seni dan teruskan legasi ayah saya.” katanya.
“Alhamdulillah, akhirnya filem ini akan menemui penonton tidak lama lagi. Meskipun teruja untuk mempersembahkan karya daripada legasi peninggalan arwah ayah saya, namun pada masa yang sama saya rasa gementar untuk melihat reaksi penonton terutamanya peminat Kampong Pisang.
“Ini merupakan taruhan pertama saya sebagai pengarah filem, tentunya saya cuba mengekalkan elemen yang ada dalam Kampong Pisang dan dalam masa yang sama turut menerapkan elemen baru agar gabungan tersebut dapat memberikan pengalaman segar kepada penonton seperti karya-karya sebelumnya.” tambahnya lagi.
Kampong Pisang Berbuah Dua Kali bakal diterajui oleh tunggak utama francais tersebut iaitu Kazar Saisi (Pak Din), Bell Ngasri (Barkoba), Aziz M Osman (Pak Jabit), Mat London (Pak Karim), Dewa Sapri (Cik Purnama), Ahmad Yassin (Yassin), Rasydan Zakaria (Adan), Nizam Mok Ram (MA Mok), Joey Daud (Daud M), Yeop Hitler (Manap Sengau), Rashid Othman (Faguha Jabar), Anis Nisham (Yati).
Turut tidak ketinggalan, kemunculan Datin Paduka Eina Azman sebagai watak Cik Mek bakal menambahkan kegamatan dalam kampung ini.
Tampil sedikit berbeza, filem kali ini akan menyaksikan universe Kampong Pisang meletakkan elemen memperkasakan golongan wanita (women’s empowerment) dalam memperkukuhkan jalan cerita.
Kampung Pisang Berbuah Dua Kali akan mula ditayangkan menerusi Astro First bermula 3 Mac 2022.