Sebut sahaja nama penceramah bebas Ustaz Kazim Elias atau nama sebenarnya Datuk Ustaz Kazim Elias Al-Hafizs, mesti ramai yang terngiang suaranya yang merdu dan cara penyampaian dalam dakwahnya yang santai dan tenang.
Bagaimana pun, baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu berita bahawa beliau terkena satu penyakit misteri yang menyebabkan bengkak pada bahagian betis dan kaki kirinya sehingga tidak dapat berjalan dan mengalami perubahan fizikal yang ketara pada wajah terutamanya bahagian mata dan bibir.
Terbaru, Ustaz Kazim memaklumkan seramai enam orang doktor pakar masih belum dapat mengenal pasti penyakit misteri yang dihidapnya sejak tahun lalu.
Bagaimana pun, beliau tidak berputus asa untuk mencuba pelbagai aternatif termasuklah melakukan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), diambil darah dan sampel spesimen untuk pemeriksaan terperinci.
“Alhamdulillah, saya masih meneruskan rawatan di hospital setakat ini dengan enam doktor pakar untuk merawat saya. Mereka sampai sekarang tidak dapat mengenal pasti penyakit yang saya hadapi.”
Beliau juga mendakwa telah melakukan pembedahan di bahagian kaki yang bengkak namun tiada darah dan nanah dibahagian anggota badan tersebut.
“Itu yang berlaku dan bukan saya tidak serahkan kepada rawatan pakar. Ada video dirakam di mana kaki saya dibedah tidak ada darah dan nanah padahal saya ini makan ubat cair darah dan bila luka sikit pun keluar darah banyak sebelum ini.
“Bukti video saya ada tetapi masalah hendak tunjuk kepada media takut dikatakan cari propa (propaganda).”
“Saya takut bila saya tidak pergi ke rawatan moden, nanti ada yang cakap tidak jumpa doktor pakar dan ada pula yang beri tindak balas padahal saya sudah buat semua prosedur termasuk jalani pembedahan.”
Mengimbas kembali, Ustaz Kazim pernah berkongsi satu posting di Facebook menunjukkan gambar kotak berisi abu yang terdapat gambarnya yang telah dibakar, dijumpai di laluan tempatnya mengajar di Pusat Pendidikan al-Barakah di Manjoi, Perak.
Malah keluarga Datuk Mohd Kazim Elias mendakwa tidak menolak kemungkinan kesakitan yang dialami pendakwah terkenal itu adalah akibat perbuatan sihir.