“Kalau mudarat, baik jangan” Bentuk Badan Bukan Isu Buat Fizz Fairuz, Akui Sokong Hasrat Isteri Nak kurus
Sejak kebelakangan ini nama Dato Fizz Fairuz dan isterinya Datin Almy Nadia menjadi sebutan ramai di media sosial. Difahamkan, ramai yang menegur berat badan Almy Nadia yang naik mendadak selepas melahirkan anak bongsu namun apa yang membuatkan ramai kagum adalah suaminya langsung tidak kisah malah akui bahagia dengan isterinya itu.
Memetik laporan mStar, Fizz atau Fairuz Zainal Abidin, 43, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah memandang fizikal Almy sebagai perkara buruk sebaliknya dia tetap setia dengan janji pernah dikotakan kepada isteri ketika mereka berkahwin.
“Itulah lumrah hidup saya… Apa yang saya cakap itulah yang saya kotakan. Apa yang saya nak itu saya cuba sampaikan kepada orang luar. Benda itu lahir daripada kita sendiri. Apa kita mahu daripada keluarga dan rumah tangga kita,” katanya
Dalam pada itu, Fizz mengakui, Almy ada meluahkan hasrat menurunkan berat badan namun dia bimbang sekiranya perkara itu akan menjadi beban kepada suri hatinya itu.
Pun begitu, Fizz tetap menyokong segala keputusan dibuat Almy selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan.
“Kalau dia nak kurus untuk kesihatan saya okay, tapi kalau benda itu boleh memudaratkan saya syorkan baik jangan. Dia ada benda nak kena buat, dia ada benda nak kena tanggung.”
“Saya sebenarnya kesian… takut dia terlalu ikut perasaan sebab nak kurus.”
“Benda itu (kuruskan badan) bukannya benda mudah. Saya tak mahu dia terbeban. Kalau dia betul-betul nak buat, terpulang, saya cuma boleh sokong dan dorong dia sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Munafik itu memberitahu Almy merancang untuk kembali mendapatkan bentuk badan ideal selepas anak bongsu mereka tidak lagi menyusu badan.
“Insya Allah satu hari nanti korang akan lihat Almy Nadia yang 2015 atau 2016, korang tunggu. Dia ada impian nak kuruskan badan cuma sekarang ini dia ada anak yang menyusu jadi dia kena makan untuk pastikan air susu mencukupi. Saya tak nak hadkan dia untuk putus susu ke apa.”
“Bagi anak besar sikit selepas itu kalau dia nak kurus tiada masalah. Kita cuba kalau boleh turun…. kita turun kalau tidak maintain berapa yang boleh. Bentuk badan yang dulu pun dah okay,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fizz berharap agar isterinya terus kuat dengan pelbagai teguran dan sindirian mengenai bentuk badannya.
“Mulut orang tak boleh nak tutup, kena kuat. Sebab kita adalah public figure kita kena terima kritikan apa sahaja. Jangan jadikan perkara itu satu halangan untuk pergi ke arah yang lain.
“Kena kuatlah, macam mana saya boleh kuat dia kena kuat,” kongsinya.
Untuk rekod, Fizz dan Almy berkahwin pada 26 April 2014 dan dikurniakan empat cahaya mata perempuan iaitu Afrina Arianna, 6, Afrina Aurora, 5, Afrina Ayra, 4 dan Nur Afrina Aisyah, 2.