Kartunis Sweden, Lars Vilks yang pernah membangkitkan kemarahan umat Islam kerana melukis karikatur Nabi Muhammad dilaporkan maut dalam satu nahas jalan raya, lapor Badan Penyiaran British (BBC).
Ketika kejadian, Vilks, 75, dikatakan sedang menaiki sebuah kenderaan polis sebelum bertembung dengan sebuah lori berhampiran bandar Markaryd di bahagian selatan Sweden.
Dua anggota polis turut dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu selain pemandu lori cedera.
Polis masih belum mendedahkan identiti mangsa-mangsa lain yang terlibat namun, pasangan Vilks mengesahkan kematiannya menerusi akhbar Dagens Nyheter.
Menurut kenyataan polis, setakat ini masih belum dapat dipastikan bagaimana kemalangan itu boleh berlaku. Siasatan awal bagaimanapun mendapati ia tidak melibatkan pihak lain.
Vilks selama ini hidup di bawah perlindungan polis selepas sering menerima ugutan bunuh akibat karikatur yang dihasilkannya.
Karikatur yang diterbitkan pada tahun 2007 itu telah mencetuskan kemarahan penduduk Islam di seluruh dunia.
Malah perkara tersebut turut menyebabkan Perdana Menteri Sweden pada ketika itu, Fredrik Reinfeldt terpaksa menemui duta dari 22 buah negara Islam sebagai usaha untuk meredakan keadaan.