Kita semua pastinya sudah sedia maklum di mana rata-rata pekerja di kebanyakan sektor servis seperti kedai makan dan car wash adalah warga asing.
Kebenyakan dari mereka sanggup berhijrah demi mendapatkan pendapatan untuk menyara keluarga yang berada di kampung masing-masing.
Namun begitu terdapat sesetengah masyarakat kita yang memandang rendah golongan mereka ini.
Satu perkongsian di laman Facebook oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim, beliau sendiri menyaksikan bagaimana seorang bapa kepada tiga anak dengan angkuhnya memarahi pekerja car wash.
Insiden tersebut terjadi hanya kerana didakwa tidak menurut arahannya serta enggan membayar perkhidmatan yang telah diberi.
Berikut adalah perkongsian beliau.
Manusia jahil dan jahat berbagai ragam.
Ahad lepas, 3 Januari 2021, saya bersama dua anak pergi basuh kereta di car wash bekas murid dewasa saya di Selayang Segar.
Ketika kereta hampir siap, ada seorang pelanggan muda bising-bising tak mahu bayar harga kereta yang dibasuh.
Umurnya dalam lingkungan awal 30-an bersama tiga anaknya yang masih kecil.
Orangnya nampak kurang adab kerana semasa menunggu, dia berterusan menghisap vape tanpa mempedulikan anak-anaknya yang kecil dan pelanggan lain. Antara dialognya yang saya masih ingat:
“Kamu ni Bangla! Jangan kurang ajar! Lain aku suruh, lain kau buat! Aku suruh basuh luar sahaja, kenapa kamu cuci dalam sekali? Aku hantar kau balik Bangla baru tahu!”
Pekerja Bangla cuba membela diri dan bercakap elok-elok dengan menyatakan mereka sudah menjelaskan kepada pelanggan tentang basuhan luar dan dalam.
Apa jawapannya sambil menunjukkan tapak kakinya kepada pekerja Bangla?:
“Kau nampak kaki aku ni? Nak makan kaki? Aku tak peduli! Aku tak mahu bayar! Kau kurang ajar! Panggil siapa boss kau? Oh, kau besar kepala ye mentang-mentang ada orang jaga kau! Aku tak mahu bayar! Panggil boss kau sekarang!”
Saya tak tunggu lama, selepas selesai kereta saya dicuci, saya terus balik. Di rumah saya terfikir cara nak membantu pekerja Bangla itu daripada terus dianiaya.
Boss mereka (bekas murid saya) pernah menceritakan bagaimana mereka selalu dibuli pelanggan yang nakal dan jahat.
Ada yang mendakwa duit ratusan ringgit yang disimpan dalam kereta habis dikebas pekerja Bangla, lalu mereka diugut dengan senjata agar membayar.
Akibatnya, pekerja Bangla ini terpaksa membayar kerana bimbang diugut samseng dan sebagainya.
Semalam, 6 Januari 2021, saya singgah lagi di kedai ini untuk membasuh kereta dan mencadangkan agar boss mereka menyediakan borang khas (lampiran gambar) untuk semua pelanggan agar para pekerja Banglanya tidak lagi dianiaya.
Pagi ini, boss mereka menghubungi saya dan menceritakan kesudahan kisah si pelanggan tempoh hari. Bila boss mereka datang berunding, si pelanggan tetap enggan membayar (RM7 sahaja) dan enggan beredar. Apa tuntutannya?
“Dia mahu pekerja Bangla yang didakwa biadab itu sujud dan minta maaf!”
Inna Lillah! Betapa angkuhnya pelanggan ini. Akhirnya boss mereka terpaksa memanggil polis untuk menghalau si pelanggan. Dia beredar tanpa membayar satu sen pun.
______
Perkongisan cerita tersebut ternyata menimbulkan rasa kurang senang netizen dengan sikap individu yang disifatkan tidak berhati perut itu.
Rata-rata netizen mendoakan agar dipermudahkan urusan pekerja dan tuan kedai ‘car wash’ tersebut.