#MalaysiaBaru
“Kekanda Tidak Boleh Tidur Bimbangkan Adinda” Surat Mujahid Yusof Rawa Untuk Izzah Anwar
Semalam viral satu surat terbuka daripada Menteri Agama, Mujahid Yusof Rawa kepada Nurul Izzah Anwar.
Di dalam surat itu Mujahid menyatakan rasa bimbangnya terhadap Izzah dan menggelarnya sebagai ‘puteri reformasi’.
Berikut adalah surat terbuka ditulis oleh Mujahid yang sedang dalam perjalanan darat dari Cordova ke Madrid.
__________________
WARKAH DARI CORDOVA UNTUK NURUL IZZAH
Ke hadapan Adinda Nurul Izzah yang dikasihi,
Kekanda kini dalam perjalanan darat 3 jam dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda setelah keputusan adinda tempoh hari. Semoga adinda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku ‘Puteri Reformasi’.
Gelaran itu bukanlah mudah untuk dikalungkan kepada sesiapa walaupun ramai wanita muda era reformasi bangkit bersama, ini adalah kerana adinda ialah lambangnya dan simbol yang sinonim dengan gelombang reformasi. Kekanda amat bangga dengan gelaran itu malah kekanda sering menjadikannya inspirasi kepada anak-anak dan golongan muda lain agar mencontohi susuk tubuh ‘puteri’ ini.
Adinda,
Kekanda pernah menasihati adinda bahawa jalan untuk adinda masih panjang dan jauh dan pastinya adinda akan sampai jua dihujungnya. Kekanda cuba menyelami perasaan anak muda seperta adinda dalam politik kepartian yang penuh dengan persaingan individu dan kekelompokan. Percayalah, kekanda telah melaluinya sehingga kekanda terpaksa membuat tindakan yang sukar lagi berisiko, semuanya gara-gara tabiat politik kepartian. Kekanda tidak mahu adinda tumpas dengan medan politik dalaman yang kadang-kadang tidak berhati perut. Beberapa kali kekanda menangis sendirian antara meneruskan atau pasrah sahaja malah ada ketika mahu sahaja kekanda mengucapkan selamat tinggal kepada politik kepartian. Kekanda pernah dinasihati sifu-sifu parti agar senantiasa fokus dan buktikan nilai diri kita kepada perjuangan parti.
Sehingga kini, di telinga kekanda masih teriang kata-kata penuh hikmah ayahanda kekanda Tuan Haji Yusof Rawa ketika kekanda mengadu padanya tentang persaingan dalam kepimpinan semasa kekanda dalam Pemuda PAS satu ketika dahulu. Ayahanda yang sudah agak uzur ketika itu tersenyum sambil berkata: “anakandaku Mujahid, di mana kamu berada bukan masalah kamu, jika Allah kehendaki kamu akan sampai di kemuncak, sampailah kamu, walaupun ramai tangan manusia yang menyekat kamu, tapi ingat jika belum sampai masanya dan Allah belum menetapkan, walaupun seribu tangan manusia ingin membawamu ke sana kamu tak akan sampai.”
Haji Yusof Rawa terus berpesan dengan penuh kebaikan: “…buktikan dengan kerja kamu, buatlah kebaikan kerana Allah, bersabar dan biarkan yang lain di tanganNya”
Sudilah apa kiranya dikongsikan nasihat ini untuk adinda jua semoga dipanjangkan kebaikan nasihat ayahanda Haji Yusof Rawa yang amat dikasihi oleh ayahanda Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adindaku Nurul Izzah,
Nama adinda adalah cahaya (Nur) yang penuh dengan kemuliaan (Izzah). Ayahanda adinda tinggi peradabannya malah kekanda yakin setiap nama yang diberikan kepada zuriat yang dikasihi adalah doa agar kekal nama itu sepadan dengan tuannya.
Kita dilahirkan dalam rumah yang tidak terpisah dengan kerjaya ayahanda kita iaitu ahli dan tokoh siyasah (politik). Sememangnya benar kata pepatah orang tua-tua kita : “kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?”
Adinda mewarisi ketokohan siyasah itu sama ada dengan pilihan atau warisan. Memang sukar untuk selalu diperbandingkan kita dengan ayahanda-ayahanda kita oleh manusia yang memerhatikan kita. Kekanda selalu berkias tidak layak perbandingan tersebut dengan berkata, kuku pun tak sama dengan ayahanda kekanda, apatah lagi ketokohannya. Namun kita juga harus berbangga bahawa ayahanda kita mendidik kita sebaiknya untuk kita menabur bakti, berbuat baik tanpa syarat dan mementingkan perjuangan daripada diri sendiri. Kekanda yakin adinda telahpun menghadamnya sejak bergelumang di alam politik.
Adindaku,
Sejak kekanda mengenali adinda, adinda masih remaja dan amatlah kekanda bersedih dan bersimpati betapa remaja seperti adinda terpaksa melalui saat-saat duka menanggung kepedihan fitnah ke atas ayahanda yang dikasihi. Bukan mudah penderitaan tersebut, terpaksa menanggung kata keji manusia yang memfitnah sedangkan kita ada kawan, sekolah dan masa depan yang kita harus tempuhi. Bukan calang-calang manusia yang mampu berhadapan dengannya apatah lagi sebagai anak sulung, adinda terpaksa membebani jua penderitaan adik-adik yang masih kebingungan.
Kekanda ada melihat wajah adinda semasa dalam salah satu siri ceramah di Melaka hujung tahun 90an. Kekanda berada di atas pentas ketika itu, betapa hati kekanda berbisik : “Ya Allah, mengapakah anak ini harus menanggung semua ini? Lihatlah wajahnya masih remaja dan mentah terpaksa berada di atas pentas membela ayahnya yang difitnah dan diaibkan, Ya Allah kukuhkan jiwa anak ini.” Itulah bisikan doa kekanda waktu itu. Alhamdulillah era reformasi hujung 90an membawa kekanda berada di atas pentas politik sehingga kekanda memutuskan untuk bertanding pada PRU 1999.
Alhamdulillah juga kita diketemukan usai PRU 2008 sebagai ahli parlimen hingga kini. Anak ‘remaja mentah’ yang kekanda pernah doakan agar jiwanya cekal kini menjadi rakan seperjuangan kekanda yang kental, sama-sama melalui detik suka dan duka demi harga sebuah perjuangan, demi Malaysia Baru. Kekanda amat menghargai persahabatan kita disimpulkan dengan satu cita-cita dan satu harapan.
Adinda Nurul Izzah,
Kekanda amat yakin kebolehan adinda bukanlah kerana ‘menumpang’ nama besar Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pepatah Arab ada mengatakan: “bukanlah anak muda hebat itu yang berbangga tentang kegemilangan ayahnya tetapi anak muda hebat ialah yang berkata aku adalah aku”. Kekanda akan berkata, “adinda adalah adinda dari sudut kehebatan dan kemampuan”.
Manusia akan terus berkata, janganlah adinda menjangkakan manusia akan diam dengan kebolehan kita dan kemampuan kita. Sehebat manapun seseorang, dia akan lebih hebat jika manusia terus mempertikaikannya maka terserlah lagi kehebatannya. Para ulama dan ilmuwan yang namanya terukir dibibir orang yang membaca pandangannya tidak dihargai pandangannya begitu sahaja, mereka dikritik malah dicerca dan dicaci sebagai ‘sesat’ dan sebagainya. Lihat siapa mereka hari ini, dimana pencacinya berakhir? Pencaci dan pencacai akan hilang ditelan zaman, yang terserlah ialah kehebatan kepada yang dicaci dan dikritik.
Kekanda tidak tahu tentang adinda tetapi kekanda yakin dengan ‘sunnah’ ini selagi ada kekuatan hujah dan kejelasan pemikiran apa yang kita perjuangkan. Biarkan pengkritik lakukan apa yang mereka pakar lakukan, kita lakukan apa yang kita perlu lakukan iaitu membawa gelombang Malaysia Baru! Kekanda perlukan adinda bersama memimpin gelombang besar ini…
Bukan mudah berada dalam parti yang dikatakan kononnya ‘parti anak beranak’. Mereka juga menggunakan istilah yang lebih sofistikated seperti ‘nepotism’. Kekanda tidak pandai guna istilah-istilah ini, apa yang kekanda tahu ialah abaikan semua itu (persetankan, maaf bahasa kasar) kerana adinda bukan apa yang diperkatakan, adinda ada kelayakan tersendiri, amat tidak adil untuk kelayakan ini ‘dimandulkan’ hanya kerana kata-kata sinis seorang, dua. Tiada yang lebih baik dibuat kayu pengukur melainkan dengan istilah al-Quran iaitu ‘al-qawwi’ ‘al-amin’.
Adindaku,
Kekanda pernah bertanya pada sifu-sifu kekanda dalam politik. Anehnya sifu-sifu kekanda bukan semuanya dari mana-mana parti tertentu tetapi sebahagian mereka hanya pemerhati yang mengamati sepanjang pengalaman hidupnya bagaimana potensi digilap dan potensi ‘dimalap’.
Hanya satu pesanan sifu-sifu ini:
“…dalam perjuangan tak boleh ‘merajuk’ dan kecil hati sebab musuh kita akan melihat itu satu kekalahan awal, mereka akan lebih berani ke hadapan hendak menjatuhkan kita”.
Namun satu kata nasihat yang kekanda tak akan lupa dari seorang sifu kekanda yang telah pun meninggalkan dunia fana ini. Sifu dari Pulau Pinang ini memetik dari kata-kata semangat seorang pemimpin besar di Barat: “Jangan salahkan musuh kamu kerana menjatuhkan kamu, salahkan diri kamu sendiri kenapa kamu enggan berdiri semula”.
Kekanda pernah dijemput ke rumah seorang sifu satu ketika di Kelantan. Waktu itu kekanda berumur 30-an dan penuh semangat anak muda. Sifu ini yang sekian lama berdiam diri setelah pernah menjadi manusia yang digelar ‘paling bekeng’ dalam politik Kelantan. Beliau jadi juara ‘gedebe’ setelah menewaskan dalam satu pergaduhan dengan ‘ketua gangsta’ paling digeruni, sejak itu gelaran kepada beliau sebagai tokoh gedebe tidak pernah dipertikai dan disangsikan. Dengan latarbelakang sifu ini, kekanda menjangkakan nasihatnya ‘keras’ dan ‘tegas’ namun kata nasihatnya penuh kesufian dan kelembutan. Katanya: “Mujahid akan muncul jadi pemimpin satu hari nanti, lagi tinggi Mujahid naik, mesti lebih kukuh asas tempat bertapak, jika tidak, pasti akan bergoyang di atas nanti, bina tapak dari sekarang pasti Mujahid akan memerlukannya”. Dua puluh tahun lebih berlalu, kenyataan kata-kata nasihat dari sifu paling ‘gedebe’ ini kanda ingin kongsikan dengan dinda. Sudilah apa kiranya adinda mendengarnya buat bekalan perjalanan panjang kita.
Adinda Nurul Izzah,
Kekanda hanya mahukan kebaikan untuk masa depan politik adinda, maaf kerana warkah ini ditulis cara terbuka tetapi kekanda rasa adinda adalah ‘Puteri Reformasi’ milik generasi baru yang akan mencorakkan Malaysia Baru. Mereka perlukan ‘puteri’ mereka terus memimpin langkah awal ke arah apa yang dicitakan oleh pengasas gelombang reformasi. Para pengkritik juga ingin menguji apakah kekentalan ‘Puteri Reformasi’ masih utuh? Jangan biarkan ujian ini menjadi satu kebenaran dan jangan biarkan mereka yang tidak ada bersama kita sebelumnya menentukan nasib Malaysia Baru, kita perlu tentukannya bersama.
Adinda tidak perlu bimbang banjiran mereka yang mahu berada dalam Pakatan kita, kita punya kerangka besar yang mereka harus berada dalamnya biar apa parti pun yang mereka pilih di kalangan kita. Kita ada Malaysia Baru yang kita perjuangkan bersama, Puteri Reformasi perlu perkukuhkan Malaysia Baru bagi menjawab kebimbangan ini. Janganlah berundur setelah beribu tapak perjalanan kita, jalan kita masih jauh, Malaysia Baru memerlukan adinda.
Adinda Nurul Izzah,
Akhir kalam terimalah salam kekanda dari hati yang merindui Malaysia Baru tanpa kebencian kaum dan agama, Malaysia Baru yang melimpahkan kekayaannya buat golongan mustadafin dan Malaysia Baru yang melahirkan generasi baru yang progresif dan inklusif. Alangkah bahagianya saat Malaysia Baru jadi kenyataan ketika itu.
Kekanda tidak tahu apakah kekanda akan berada di situ nanti tetapi sekurangnya adinda Nurul Izzah mesti teruskan perjalanan ini. Kekanda menghormati keputusan adinda namun kekanda harap adinda membaca warkah ini sehingga habis bukan untuk mengubah pendirian adinda kerana kekanda tahu kekentalan adinda sukar dilenturkan, tetapi untuk menyatakan kepada adinda bahawa perjuangan kita lebih besar dari perasaan dan emosi kita terhadap apa sahaja yang berlaku di hadapan kita. Siapalah kita hanya zarrah kecil membentuk harapan manusia ke arah Malaysia dengan dunia yang lebih baik.
Kenderaan kami menghampiri Toledo, dan kekanda akan berhenti di sini dahulu untuk menikmati keindahan pemandangan dari kawasan tinggi di sini. Adios…
Sekian,
Yang Benar,
Kekanda Mujahid Yusof Rawa
(Perjalanan darat dari Cordova ke Madrid)
"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.