Connect with us

Semasa

“Keluarga minta rakam, ia saat yg menyedihkan” Lelaki Kongsi Foto2 Urus Jenazah Covid-19

Kes pandemik Covid-19 terus mencatatkan peningkatan dari hari ke hari dan secara tidak langsung kadar kematian juga di tahap yang membimbangkan.

Pelbagai kisah sedih mula membanjiri ruangan media sosial mengenai Covid-19 dan diharap rakyat mula kembali sedar akan bahaya penularan wabak ini.

Tiada peluang langsung untuk ahli keluarga melihat jenazah

Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki berkongsi detik-detik menyedihkan menguruskan jenazah Covid-19 di Sandakan.

“Tiada peluang langsung untuk ahli keluarga melihat jenazah (pesakit Covid-19)”.

“Ada antara mereka meminta kami merakam gambar dan video ketika proses pengebumian, ia saat yang sangat menyedihkan,” kata Yunizam Yusop.

Itu antara pengalaman Yunizam, 32, bersama rakan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Abam Botak Van Jenazah, dalam mengurus, memandikan dan mengkafankan jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19 di daerah ini sejak penularan wabak itu semakin kritikal di Sabah.

Dia dan rakan-rakan perlu cekal dan bersiap sedia uruskan jenazah

Menurut Yunizam, dia dan rakan dalam pertubuhan itu perlu cekal, tahan dari segi mental dan fizikal serta perlu sentiasa bersiap sedia berhadapan tugasan menguruskan jenazah dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, sejak dua tahun menawarkan khidmat menguruskan jenazah secara percuma, pengendalian mayat pesakit Covid-19 memang berbeza daripada yang biasa dilakukan untuk mengelak mereka dijangkiti wabak pandemik itu.

Kelmarin kami kebumikan 12 pesakit Covid-19

“Seperti semalam (kelmarin), kami membantu mengebumikan 12 pesakit Covid-19 berusia lingkungan 40-an dan ke atas.

“Tugas kami bermula sebaik sahaja pihak hospital mengumumkan kematian (berkaitan Covid-19),” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menyentuh mengenai protokol pengurusan jenazah Covid-19, Yunizam berkata, sebaik menerima panggilan daripada hospital, pihaknya akan mengurus, memandikan dan mengkafankan jenazah kemudian mengadakan solat jenazah mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

Ia sangat menyedihkan

Jelasnya lagi, ketika urusan pengebumian, perjalanan mereka dari hospital ke tanah perkuburan akan diiringi polis dan juga kakitangan hospital.

Katanya, berikutan protokol ketat daripada kerajaan, tiada ahli keluarga yang dibenarkan membuat penghormatan terakhir untuk jenazah.

“Ia sangat menyedihkan, tetapi kumpulan (pengurusan jenazah) saya perlu kuat untuk bersama menunaikan tanggungjawab ini dengan pasukan barisan hadapan yang lain,” katanya.

Yusnizam sering berkongsi pengalamannya menerusi laman Facebook. Beliau juga sering turun padang membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama soal menguruskan jenazah.

Sandakan antara 16 kawasan zon merah

Sandakan ketika ini antara 16 kawasan zon merah di Sabah. Selain 16 kawasan zon merah itu, ada tujuh kawasan disenarai kawasan kuning dan hanya Tongod dan Nabawan tidak merekodkan sebarang kes.

Difahamkan, Sabah mencatatkan lebih 4,650 kes aktif dan merekodkan 64 kematian di seluruh negeri itu.

Salam takziah kepada keluarga mangsa-mangsa pandemik Covid-19. Semoga kita bekerjasama mematuhi peraturan dan memutuskan rantaian Covid-19.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.