Pelbagai ragam dan gelagat lucu anak-anak yang akan ingati ibu bapa apabila mereka dewasa kelak.
Ragam anak-anak membesar akan menjadi momen indah untuk dikenang suatu masa nanti.
Terkejut lihat kening anak hilang sebelah
Begitu juga dengan kisah seorang ibu yang terkejut apabila kening anaknya hilang sebelah hanya beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya.
Ibu ini berkongsi kisah ini dengan mStar, Nur Farhana Kathan, 25, berkata kejadian berlaku dua minggu sebelum Aidilfitri baru-baru ini apabila anaknya itu sedang mandi bersendirian.
Keluar bilik air dengan muka pucat ketakutan
“Saya panggil dia suruh mandi cepat sikit, dia jawab ya kejap, lepas tu tiba-tiba dia keluar bilik air lari dengan muka pucat ketakutan,” ceritanya yang menetap di Melaka.
Kongsi Nur Farhana yang juga seorang suri rumah, anaknya itu rupa-rupanya berjaya memanjat mangkuk tandas di bilik air untuk mengambil pisau cukur milik bapanya serta mencukur licin kening sebelah kiri.
Tengok anak tak tahu nak menangis ke nak gelak
“Bila saya tengok, Ya Allah Auni, terkejut sebab kening sebelah kiri memang habis kena cukur, saya tak tahu nak gelak ke nak menangis.
“Saya ada tanya dia kenapa dia cukur kening tapi dia jawab tak tahu, memang dia tak nak beritahu kenapa.”
“Saya cakap dekat dia tengok apa dah jadi bulu kening dah hilang, awak tu perempuan, lepas tu dia menangis, terus saya tak jadi nak marah,” katanya.
Dia nak pergi sekolah tapi malu
Menurut Nur Farhana keadaan keningnya yang ‘botak’ itu menyebabkan anaknya berasa malu untuk ke sekolah atau keluar bermain bersama rakan-rakannya.
“Dia nak pergi sekolah tapi malu, jadi dia asyik menangis je sampai saya dah tak tahu nak pujuk macam mana.”
Saya lukis kening dia tapi balik sekolah keningnya dah hilang
“Saya beritahu cikgu, dia segan takut kena ejek kemudian cikgu suruh lukis kening dia.”
“Bila saya dah lukis kening baru dia senyum dan nak pergi sekolah tapi dia tak sedar bila balik sekolah selalunya kening saya lukis tu dah hilang, nasib baik juga kawan dia tak ejek.
Dia menangis tengok cermin sambil cakap nak kening balik
“Dekat rumah, dia tak nak keluar walau depan rumah sebab malu. Dia tengok je kawan-kawan main melalui tingkap.”
“Lepas tu dia tengok cermin sambil menangis cakap nak kening dia balik,” katanya.
Dia menyesali perbuatannya
Kanak-kanak ini menyesali perbuatannya serta-merta, Nur Farhana berkata anaknya berjanji untuk tidak bermain dengan barangan tajam lagi.
“Lepas hilang kening ni dia menyesal, katanya tak nak main benda tajam lagi sebab nak keluar rumah pun dia malu.
Saya letak vaseline menjadi juga
Menurut Nur Farhana kening anaknya kini telah tumbuh semula seperti sediakala selepas lebih kurang sebulan.
“Mula-mula tu saya letak Vaseline, menjadi juga dalam seminggu dah nampak bulu-bulu halus tumbuh, mula-mula risau juga ingat kening dia dah tak akan tumbuh lagi,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut terhibur dengan kisah gelagat kanak-kanak ini.
Ada diantara netizen turut berkongsi cerita dan pengalaman mengenai kenakalan anak-anak mereka.