Ajal dan maut ketentuan Tuhan, tidak kiralah tua ataupun muda kita pasti akan dijemput Ilahi suatu hari nanti.
Baru-baru ini, suasana di Dewan Tunku Canselor Negeri Sembilan telah bertukar sayu apabila pasangan suami isteri naik ke atas pentas mengambil skrol transkrip diploma anak mereka.
Memetik laporan MStar, hari yang sepatutnya disambut gembira bersama keluarga kini menjadi hiba apabila pengacara menyebut nama si anak lalu meminta para hadirin untuk menghadiahkan al-Fatihah kepada arwah telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada November lalu.
Difahamkan, Allahyarham Ahmad Azhan Faris Azhar, 20, telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Teknologi Elektrik dari Kolej Vokasional Melaka Tengah.
Aida Ahmad selaku ibu kepada Allahyarham, menyatakan bahawa anaknya itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika anaknya itu sedang dalam perjalanan pulang menuju ke rumah mereka di Sungai Rambai, Melaka.
Dikatakan, anaknya itu telah mengalami kecederaan dalaman parah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 14 November, iaitu setelah seminggu bertahan bertarung nyawa setelah ditimpa kemalangan.
“Sejurus selepas kemalangan, dia masih sedar. Sebelum masuk dewan bedah pun dia masih sedar dan kami sempat berbual. Sekeluarga ada di sisinya ketika itu, kami saling meminta maaf.
“Saya dan ayahnya juga katakan padanya, kami maafkan segala salah silap, halalkan makan minum dan reda apa yang jadi. Puas hati dia dapat dengar.
“Bagaimanapun, selepas pembedahan, dia tidak sedarkan diri sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada 14 November. Sebenarnya sebelum itu doktor beritahu, kes anak saya sebenarnya tipis harapan untuk bertahan.
“Tapi mereka kata akan melakukan sehabis daya yang terbaik… namun ternyata Allah menyayanginya,” luah ibu kepada lima cahaya mata ini.
Aida dan suaminya, Azhar Daril, 52, menyangkakan bahawa mereka berpeluang untuk menyaksikan anak mereka mengenakan jubah konvokesyen dan naik ke atas pentas pada 7 Mac lalu.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran kami yang akan naik ke pentas bagi mewakili anak sendiri. Sebelum ini pernah tengok video ada waris yang naik pentas bagi mewakili arwah anak mereka.
“Tapi kini, kami juga berada dalam situasi yang sama. Kami sebenarnya tak kuat nak hadapi. Tapi saya ingat, sebelum accident, dia pernah cakap, ‘An tak sabar nak tunggu konvo… nak banggakan ayah ibu. Tak sabar nak kerja’.
“Bila teringat kata-kata itu, saya jadi kuat. Namun menggigil juga kaki masa naik. Orang nampak macam kuat, tapi Allah saja tahu perasaan kami.
“Bila turun pentas, rasa macam tergamam kejap. Ya Allah, macam mana boleh naik… tapi sebenarnya, kerana dialah kami kuat,” katanya.
Walaupun sudah empat bulan tragedi gelap itu berlalu, Aida meluahkan bahawa dia dan keluarganya masih berasa terkesan dengan pemergian anak ketiganya itu.
“Dia orangnya sangat periang, suka buat kelakar, mudah menolong orang lain, malah sanggup pinjam wang dekat orang lain demi pinjamkan kepada kawan. Dia juga suka belanja kawan-kawan.
“Ini semua diceritakan oleh kawan-kawannya selepas dia tiada. Kalau masa terluang atau masa cuti, dia suka buat macam-macam kerja untuk dapat duit lebih seperti buat Grab, kerja catering dan tolong ayahnya berniaga… memang dia jenis berdikari.
“Bila dia tak ada, rumah sunyi sangat. Bukan kami je, jiran pun terkesan dengan pemergiannya.
“Kami sekeluarga tak sangka video yang dikongsikan dil TikTok Kolej Vokasional Melaka Tengah menjadi tular.
“Bila baca komen, kami bersyukur sangat-sangat sebab terlalu ramai yang mendoakannya. Kami ucapkan terima kasih. Apa yang anda lalukan tak mampu kami nak balas… hanya mendoakan moga kebaikan berbalik kepada anda,” cerita Aida.
Video TikTok yang tular: