Kereta Honda Digeser BMW Singapura, Tunku Idris Kongsi Video & Foto
Langgar lari merupakan perbuatan melanggar mangsa kejadian dan terus melarikan diri dengan niat untuk mengelakkan diri untuk ditangkap. Tidak kiralah kemalangan kecil atau besar, perbuatan langgar lari ini tetap salah.
Begitu juga dengan isu yang tular baru-baru ini, yang melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura di suatu video menjadi bualan warganet di kedua-dua buah negara jiran ini.
Berdasarkan video CCTV yang telah dimuat naik di Instagram (IG) milik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim telah berkongsi satu kejadian yang menimpanya apabila kereta Honda milik baginda telah digeser oleh sebuah kenderaan jenis BMW.
Menerusi video tersebut, kenderaan BMW tersebut telah menggeser kereta baginda yang telah diparkir di hadapan sebuah kedai roti di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru.
Difahamkan, insiden itu berlaku kira-kira pada pukul 2:17 petang.
Melalui perkongsian yang telah dibuat oleh baginda juga, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemandu kenderaan BMW tersebut kerana selamba sahaja jalan bersebelahan Honda E milik TTJ seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Pemandu lelaki tersebut dilihat keluar dari kenderaannya dan terus berlalu pergi tanpa memeriksa atau sama sekali menghiraukan sama ada kenderaan Tunku Idris mengalami kerosakan atau tidak.
Baginda bukan sahaja memuat naik video CCTV tersebut, baginda turut memuat naik kereta miliknya yang calar dan juga kereta BMW tersebut di akaun IG miliknya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat menyatakan bahawa pihaknya cakna akan hal ini dan sedang menyiasat insiden ini dengan lebih lanjut akan hal ini yang membabitkan sebuah BMW bernombor pendaftaran Singapura bergesel dengan kereta elektrik Honda E milik Tengku Temenggong Johor (TTJ), YAM Tunku Idris.
Sejurus itu, satu perkongsian dibuat oleh baginda menerusi IG Story-nya yang menyatakan bahawa laporan polis telah pun dibuat dan sedang diuruskan.
TTJ pun turut mengatakan bahawa baginda sudah ‘move on’ daripada insiden terbabit menerusi IG Story tersebut.