Kasih sayang seorang ibu nyata tiada hijabnya bahkan dia sanggup melakukan apa sahaja demi zuriat yang menghuni rahimnya.
Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang ibu tunggal, Nur Haslinda Shahira Mohd Hashim, 21, yang terpaksa membawa anaknya yang baru berusia sembilan bulan ke tempat kerja.
Memetik laporan mStar, Menurut wanita itu yang bekerja syif malam di sebuah kedai serbaneka di Port Dickson, Negeri Sembilan ini, apa yang berlaku pada hari itu menyebabkan dia terpaksa membawa anaknya ke tempat kerja.
“Saya kerja di 7-Eleven, nak ambil upah pengasuh tidak mampu. Mak ayah jual kuih, mereka hantar bekalan ke kedai-kedai makan saja tak ada kerja tetap jadi biasanya saya minta mereka tolong jaga anak saya.”
“Mengenai video yang dirakam, masa tu saya terpaksa bawa anak ke tempat kerja sebab dia menangis tak berhenti. Dia tak sakit cuma nak ada bau ibu di sebelah. Saya tak tahu nak buat apa untuk pujuk dia.
“Sebenarnya manager tak bagi bawa anak ke tempat kerja. Tapi malam tu nasib baik dia benarkan selepas saya minta budi bicaranya,” ujarnya yang mesra disapa Haslinda.
Tidak dinafikan, bekerja sambil menguruskan anaknya, Muhammad Adam Aadhif bukanlah satu perkara yang mudah setelah mengambil keputusan untuk bercerai kira-kira enam bulan lalu hingga terpaksa mendapatkan bantuan ibu bapanya.
Selepas bercerai dia memutuskan untuk berusaha mencari rezeki sendiri dan mula bekerja di kedai serbaneka berkenaan tetapi hanya bertahan selama tiga bulan.
“Memang tidak dinafikan jadi single mom ni susah. Kos perbelanjaan bila ada anak pun besar. Tapi saat tengok wajah anak masa tidur, hati jadi sayu.”
“Saya tak akan putus asa demi masa depan anak. Selagi mampu, saya akan terus mencari rezeki,” jelasnya yang kini menetap bersama keluarganya di Port Dickson dan turut membantu ibunya berniaga kuih.
Video yang tular di laman TikTok:
“Kadang kita lewat malam keje , dia tkley tdur sbb tkde bau ibu dia”
“Lepas saya post video di TikTok, tak sangka ramai lagi yang senasib dengan saya.”
“Ada juga yang minta tip macam mana boleh jaga anak sebab dalam video saya post tu anak tak meragam, dia tidur elok je,” katanya yang kini mencari pekerjaan baharu di kawasan Bandar Sri Sendayan, yang lebih dekat dengan rumah keluarganya.