Penyanyi muda yang sedang meningkat naik, Muhammad Aiman Yusri, 22 yang dikenali Aiman Tino mendakwa dirinya ‘terperangkap’ dalam kes kompaun RM1,000 selepas didapati memancing di kolam ikan di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, semalam.
Menurut Aiman Tino, ketika itu dia bersama ayahnya, Yusri Ishak, 51, dan adiknya Muhammad Haikal, 14, berada di lokasi ketika polis menyerbu masuk kawasan kolam berkenaan, lapor Harian Metro.
Ikut SOP
“Kami masuk ke kawasan kolam itu mengikut syarat Prosedur Standard Operasi (SOP) yang disediakan pemilik kolam ini. Ketika serbuan polis petang lewat petang semalam, hujan turun lebat.
“Ramai pengunjung berteduh pada bangsal terbuka pada satu tempat ketika itu yang melebihi 20 orang, polis enggan menerima penjelasan kami dan terus mengeluarkan kompaun kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, portal Harian Metro melaporkan seramai 59 pemancing termasuk dua pekerja warga asing dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada petang semalam.
Pengusaha kolam patut dikenakan tindakan
Aiman mendakwa sepatutnya pengusaha kolam pancing ini perlu dikenakan tindakan undang-undang dengan kompaun yang sesuai dan bukannya 59 pemancing lain yang datang ke situ.
Tambah Aiman lagi, kejadian berlaku memberi kesan buruk kepada mereka yang patuh peraturan dengan mengamalkan penjarakan sosial satu meter, memakai topeng pelitup muka dan mendapatkan nombor giliran untuk masuk memancing.
“Saya kesal disaman pihak polis bersama para pengunjung lain. Kami dibekalkan syarat asas tatacara urusan kebenaran kolam pancing yang betul dan turut mengamalkan apa yang dikehendaki,” katanya.
Pemilik kolam tiada
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, pemilik kolam berkenaan tidak berada di situ semasa kejadian dan hanya membiarkan pekerja warga Bangladesh menguruskan perniagaan itu.
Katanya, mereka berasa teraniaya dengan kejadian yang tidak disangka itu.
“Kami kerap memancing di kolam yang terletak hanya dua kilometer dari rumah berdekatan jalan utama di Kuala Kubu Bharu menyebabkan ramai datang memancing di situ.
“Kolam ini memang terkenal sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. Kami bukan sengaja langgar peraturan dan buat masalah,” katanya.
Mohd Yusri berkata, mereka dikehendaki melunaskan bayaran kompaun RM1,000 di Pusat Kesihatan Daerah Hulu Selangor selewat-lewatnya pada 8 Jun ini.
Katanya, dia bersama rakan lain akan membawa ketengah kes ini bagi mendapatkan pembelaan yang setimpal.