Kisah 3 tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu di Kampung Kuala Telemong pada raya keempat mendapat liputan luas.
Terbaru, ayah kepada ketiga-tiga mangsa lemas berkongsi ada bermimpi mengenai anak-anaknya itu.
Setiap hari terbayang wajah Umar membersihkan halaman rumah
“Selepas kejadian lemas, setiap hari saya terbayang-bayang wajah Umar seolah-olah memandang saya ketika membersih kawasan halaman rumah pada Hari Raya pertama”.
“Pandangannya itu berbeza, dia macam nak beritahu sesuatu. Tetapi kini bayangan itu hilang apabila dia (Umar) datang dalam mimpi,” kata Mohd Ismail, 64, bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu, 27 Mei lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Mohd turut berkata dia tidak menafikan masih terbayang kelibat tiga anaknya itu walaupun sudah 11 hari kejadian berlalu.
Kita selamat doh, ayah jaga ayah pulak
Malah, selama empat hari dia hilang selera makan malah setiap perlakuan arwah anaknya sebelum kejadian masih terbayang-bayang hingga kini.
“Saya akhirnya bermimpikan Umar. Arwah memanggil saya dengan panggilan ayah sebanyak tiga kali sebelum mengeluarkan kata-kata ‘kita selamat doh, ayah jaga ayah pulak,” katanya.
Tanda tanya yang bermain di fikiran
Menurutnya lagi, dia memahami kata-kata yang dianggap sebagai pesanan daripada arwah anak.
“Mungkin itu yang nak diberitahu kepada saya sebelum dia meninggal. Selepas mimpi itu, tanda tanya yang bermain di fikiran saya sebelum ini serta-merta hilang,” katanya.
Mangsa yang lemas adalah Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16.
Difahamkan, Khalif Naim dilaporkan lemas disusuli Khairil Firdaus dan Umar Iskandar yang tenggelam ketika cuba membantu adiknya.
Mahu meluangkan masa dengan beribadat
Menurut kakak arwah, Khairiah, 20, berkata, arwah Khalif Naim seolah-olah sudah merasakan dia akan bertemu Allah.
Ini kerana permintaan arwah yang meminta rakan tidak lagi menghantar Whatsapp kepadanya kerana mahu meluangkan masa dengan Tuhan.
Ujar kakak arwah lagi, dia menemui beberapa perbualan arwah menerusi WhatsApp bersama rakannya empat hari sebelum kejadian.
Arwah seakan tahu dia akan pergi
Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, dia sebak apabila membaca kata-kata itu sekali gus merasakan arwah adiknya seolah-olah sudah tahu dia akan pergi bertemu Allah.
“Mungkin berlaku salah faham antara mereka dan ketika arwah memujuk rakannya, dia mengeluarkan kata-kata itu,” katanya.
Operasi SAR menemui jasad tiga beradik itu di dasar sungai sehari selepas kejadian pada jarak 50 meter antara satu sama lain tidak jauh dari lokasi tempat mereka dilaporkan lemas.
Dikebumikan dalam satu liang
Ketiga-tiga jenazah dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung, Marang.
Kehilangan orang tersayang satu ujian yang perit ditempuh apatah lagi 3 orang ahli keluarga pergi serentak mengadap Ilahi. Semoga keluarga tabah menghadapi ujian ini.