Kongsi Detik Manis Berhijrah, Stacy Akui Terharu Dengan Sokongan Keluarga
Seorang penyanyi terkenal yang juga merupakan juara menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-6 ini sentiasa memberikan persembahan yang bertenaga ketika sedang menyanyi dan menari di atas pentas.
Stracie Angie Anam atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy binti Anam ini banyak menerima anugerah dan pencalonan sepanjang kariernya bahkan dia turut diberi gelaran sebagai ‘Ratu Tari Malaysia’.
Umum mengetahui, pada 25 Ogos 2015 penyanyi ini telah memeluk agama Islam dan pada tahun 2016 dia telah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Akim Ahmad yang juga salah seorang bekas pelajar daripada program Akademi Fantasia musim ke-7 malah pasangan selebriti ini sering menjadi perhatian ramai sejak dahulu lagi.
Pun begitu, menerusi program bersama Tya di ‘Instagram Live’ ini Stacy mendedahkan bahawa suaminya merupakan seorang insan yang banyak mendorong dirinya untuk mendekati agama Islam bahkan cara Akim ketika menceritakan tentang keindahan islam itu cukup menarik hatinya.
“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari. Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya. Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’…”
“Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik” katanya.
Menurutnya lagi, hubungan baik bersama Akim telah menguatkan lagi hasratnya untuk mendekatkan diri dengan agama Islam.
“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pada 26 September 2015, kami bertunang, seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah” ujarnya.
Malah Stacy juga mendedahkan detik dan momen yang paling diingati olehnya sehingga sekarang adalah kehadiran ibu bapanya ketika memeluk Islam walaupun penghijrahannya itu pernah tular.
“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka. Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi..”
“Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi” tambahnya lagi.
Dalam pada masa yang sama, dia mengakui hatinya ketika mengucapkan dua khalimah syahadah membuatkan dirinya berperang dengan diri sendri dengan keputusan yang dilakukan.
“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu. Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu.
“Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan-bukan itu hanya mainan emosi,” katanya yang masi belajar untuk menjadi insan terbaik. Saya masih belum sempurna. Namun, dalam hati sentiasa berusaha untuk ke arah yang lebih baik” luahnya.