Connect with us

Viral

Kongsi Pengalaman Seram Guna Komputer Depan Bilik ‘Keras’, Doktor Menyesal Tanya Kisah Seram Kepada Jururawat

Seorang yang bergelar doktor perubatan mesti pernah ada pengalaman menguruskan ibu bersalin di hospital.

Banyak juga kisah-kisah menarik dapat kita baca atau dengar di media sosial oleh doktor itu sendiri. Baik yang sedih, gembira mahupun seram!

Tapi ya lah, dah kalau namanya hospital, hospital mana yang tak ‘keras’ kan? Tempat itu lah yang menyaksikan banyak perkara terjadi.

Tempoh hari, seorang doktor viral di TikTok telah berkongsikan pengalaman seram yang dialaminya sendiri di laman Facebook.

Dr Samhan, 36 bercerita tentang sebuah bilik bersalin yang jarang digunakan kerana difahamkan berhantu oleh orang di situ .

“Dewan bersalin tak pernah lengang. Setiap hari bilik bersalin akan penuh. Sampaikan terpaksa pilih yang mana betul-betul nak bersalin baru dipanggil masuk dewan bersalin.

“Tapi yang hairan sepanjang aku bekerja di sini ada satu bilik tak pernah digunakan. Pelik. Ada yang kata bilik itu ‘keras’.

“Ada ibu bersalin pernah kena sampuk la. Ada yang kata ‘penunggu’ tapak tanah asal bangunan ini selalu ada di situ. Ada kata saka pernah dibuang di situ,” tulisnya.

Secara jujur, Dr Samhan mengaku dirinya bukanlah seorang yang terlalu percayakan kisah mistik.

“Tak pernah pula dalam hidup ini terserempak dengan hantu. Minta jauh la,” katanya yang berpengalaman lebih lima tahun dalam bidang perubatan.

Tambah Dr Ahmad Samhan, ada sebuah kaunter bertentangan dengan bilik ‘keras’ disebutnya tadi, termasuklah komputer yang sangat jarang digunakan.

Katanya, ramai yang tak berani nak guna komputer di situ kerana diberitahu kisah seram oleh staf di situ.

“Semua tak berani. Tak nak cari pasal. Aku ini bukanlah berani sangat. Tapi malas nak hirau sangat,” katanya.

Doktor itu berkata lagi, terdapat satu malam dia menyaksikan ibu-ibu tidak berhenti bersalin.

“Lepas satu, satu. Berebut guna komputer. Tiada komputer yang kosong. Aku nak cepat. Banyak benda nak settle.

“Ah, pedulilah. Guna je la komputer depan bilik ‘keras’ tu. Lagipun, bukan betul pun. Masa tengah aku menaip, aku dapat rasakan bulu roma menegak.

“Seram sejuk. Banyak lagi aku nak taip ni. Aku cuba fokus. Pintu bilik itu memang terbuka. Hanya ada katil. Gelap,” katanya.

Diselubungi rasa seram, doktor itu cuba menumpukan perhatian kepada kerjanya tanpa mengendahkan bilik ‘keras’ tersebut.

“Ada mata memerhati setiap gerak geri aku… Kalau aku pandang dan nampak ada sesuatu yang tengah bertenggek atas katil dengan mata merah tengah tenung aku, kang susah. Mahunya aku sawan,” katanya yang merasa diperhatikan.

Selepas kejadian itu, Dr Samhan cuba menanyakan kisah seram di situ kepada seorang jururawat yang sudah berkhidmat lebih 15 tahun.

“Akak, betul ke hantu ini wujud. Sepanjang saya kerja tak pernah pula saya jumpa hantu, tanya aku pada salah seorang misi sambil membelek kepingan kertas.

“Entahlah doktor, akak pun tak pernah tengok dengan mata sendiri. Tapi ada satu peristiwa yang akak sampai sekarang tak boleh lupa. Masa itu akak baru jadi misi,” katanya.

Kata jururawat itu, suatu malam selepas usai kerja menyambut bayi baru lahir, uri dan semua peralatan yang digunakan diletakkan di atas troli.

“Troli ditolak masuk ke bilik kotor. Uri perlu dibasuh sebelum diberikan pada ibu. Selesai uri dibasuhkan, dibungkus dengan elok dan letakkan di troli yang berada di belakang.

“Sedang asyik, membasuh peralatan lain kedengaran bunyi seperti orang tengah mengunyah. Bunyi sesuatu digigit, bibir atas dan bibir bawah berlaga. Sesekali gigi berlaga.

“Seperti orang mengunyah. Tapi buat tak peduli. Mungkin hanya mainan perasaan. Kedengaran seseorang menapak masuk ke bilik itu. Rupanya ‘sister‘, lega,” kata jururawat itu yang merujuk kepada rakan setugas.

Tambahnya, ‘sister‘ berkenaan tiba-tiba menjerit: “Letak balik! Aku cakap letak balik!”

Hairan dengan amaran yang diberikan, namun amaran itu bukan ditujukan kepada jururawat tersebut, sebaliknya ‘pihak lain’ di bilik berkenaan.

“Bukan awak, tapi dia!” kata ‘sister‘ tersebut.

“Sumpah. Terus seriau. Meremang bulu lengan sampai ke leher. Sister terus menuju ke arah bawah sinki dan kutip sesuatu. Ini bungkusan uri yang baru dibasuh tadi. Esoknya akak terus demam… itulah pengalaman akak, doktor.

“Bulu roma aku turut meremang tak turun-turun dengar cerita ini. Menyesal pula aku suruh cerita pengalaman jumpa hantu,” tulis Dr Ahmad Samhan di akhir perkongsiannya sehingga tertanya-tanya apakah yang dilihat oleh ‘sister‘ di bilik tersebut.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.