Semalam kecoh di Dewan Rakyat apabila terdapatr ahli parlimen mendakwa KP Kesihatan Tan Sri Dr. Nor Hisham tidak turun padang dan ‘takut mati’.
Tidak berdiam diri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempertahankan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah susulan isu tersebut.
BACA: [VIDEO] Ahli Parlimen Bintulu Dakwa KP Kesihatan Takut Mati, Ini Jawapan Tenang DG Hisham
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, beliau berkata, Dr Noor Hisham sudah melakukan yang terbaik dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini, sesuai dengan posisinya sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.
KP Kesihatan antara individu terpenting dalam usaha memerangi Covid-19
Saya terdetik untuk mengulas ringkas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang menyatakan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan sebagai “takut mati”.
Saya amat berharap, itu bukan maksud sebenar beliau. Mungkin ada penjelasan lanjut daripada beliau. Pun begitu, pandangan saya ini adalah untuk renungan bersama.
KP Kesihatan sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau. Jawapan beliau terhadap kenyataan tersebut dalam sesi sidang media petang tadi pun sudah padat dan memadai. Saya cuma ingin menambah beberapa noktah penting, sebagai kefahaman semua yang membaca dan mengikut isu ini.
KP Kesihatan adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19. Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah Negara.
Teringat sebuah kisah berkaitan Sahabat Nabi SAW
Saya teringat sebuah kisah berkaitan Sahabat Nabi SAW, Abu Ayyub al-Ansari radhiallahu ‘anhu. Diriwayatkan ketika tentera Muslim berperang dalam rangka menawan kota Konstantinopel, mereka berhadapan dengan jumlah tentera Rom yang amat ramai.
Ada dalam kalangan tentera Muslim itu, seorang pahlawan yang menawarkan diri untuk menyusup masuk bersendirian dalam pasukan tentera Rom walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan,
“Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran,
“Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?”
Kebetulan Abu Ayyub al-Ansari yang menjangkau 80 tahun pada ketika itu (juga termasuk dalam tentera Musllim), terdengar ayat al-Qur’an itu digunakan untuk menghalang pahlawan tersebut.
Beliau berang dan membalas dengan menyatakan bahawa ayat itu diturunkan sebagai teguran kepada golongan Ansar yang segelintirnya mula berfikir-fikir untuk meninggalkan jihad dan balik ke kampung halaman untuk bercucuk tanam dan mengumpul harta.
Ini kerana telah banyak siri kemenangan Islam dalam peperangan yang dilalui.
Lalu turunlah peringatan Allah SWT: “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…” (Surah Al-Baqarah: 195)
Kisah ini sentiasa tersemat di hati saya dan menjadi pegangan hidup saya. Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan Negara, kita tidak akan berundur!
Itulah semangat KP Kesihatan dan seluruh barisan hadapan
Saya percaya, itulah semangat KP Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu “takut mati”.
Konsep kematian dalam Islam amat mudah. Kami yakin kematian akan menjengah bila-bila masa.
Hanya Allah SWT sahaja yang Hidup Kekal dan tidak mati. Hanya Dia Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi kami sentiasa digalakkan untuk mengingati mati.
Apa yang kami risau dan takutkan adalah, adakah amalan kami cukup untuk menjadi bekalan bertemu Pencipta kita semua di alam sana?
Kerana itulah Muslim yang sebenar, mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain. Sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (Riwayat Ahmad)
Moga kita menjadi insan yang sentiasa memberi manfaat kepada yang lain.