Kejayaan seeorang tidak datang bergolek, harus memerlukan usaha dan semangat yang kuat dalam mencapai apa yang diinginkan.
Sama seperti kisah seorang pemuda ini, Nur Nazarul Nazmir Nor Hisham yang bekerja sebagai barista dengan hasrat ingin memiliki sebuah kafe sendiri telah meraih perhatian ramai.
Memetik laporan MStar, Nazarul yang lebih mesra dikenali sebagai Zarul ini telah bekerja sebagai barista sekitar November 2021 di sebuah kafe.
“Saya memang minat kopi dari sebelum pekerjaan ni, ‘senior basikal’ saya selalu bawa pergi kedai kedai kopi,” ktanya.
Setelah bekerja selama setahun dan siap mengumpul wang, Zarul akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan merealisasikan impiannya untuk memiliki sebuah kafe miliknya sendiri.
“Saya kumpul duit gaji setahun, dapat kumpul duit dalam RM15,000 lebih kurang macam tu. Kos saya labur untuk barang-barang kedai, mesin kopi dan lain-lain dalam RM15,000 tu.
“Saya dapat tambah sedikit duit simpanan dengan sambil-sambil menjual kopi dalam botol sebelum buka kedai sendiri.
“Tapak kedai pula saya sewa sekali dengan kawan saya. Kawan saya buka kedai barang-barang elektronik. Kebetulan di bahagian belakang ada ruang tanah terbiar, saya manfaatkan untuk dijadikan tempat bersantai,” terang Zarul yang merupakan seorang bekas atlet berbasikal Perlis.
Setelah dua bulan persiapan dilakukan dengan mengubah suai kedai, akhirnya kafe Zarul dibuka dengan nama Sorok Kafe dan telah mula beroperasi sejak 1 Disember yang lalu.
“Saya letak nama Sorok Kafe sebab kedai saya dekat belakang bangunan tu dan macam tersorok.
“Sudah lebih sebulan beroperasi, sambutan Alhamdullilah… ramai dari yang saya jangka nak datang. Menu buat masa sekarang, ada minuman kopi, coklat dan teh. Pekerja ada dua orang iaitu kawan saya,” jelasnya.
Kata Zarul, disebabkan kafenya mendapat sambutan yang menggalakkan, dia turut berhasrat ingin menambah menu termasuklah menu makanan di kafe tersebut.
“Perancangan masa terdekat, saya nak pelbagaikan menu di kedai saya selain kopi. Mungkin ada penambahan menu pastri dan sandwich.
“Perancangan jangka masa panjang pula, saya nak ramai orang tahu kedai saya yang tersorok ni,” katanya lagi.
Zarul turut meluahkan bahawa dia tidak menyangka perkongsian perjalanan dia merealisasikan impiannya itu telah mendapat banyak perhatian di media sosial lantas mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga.
Dalam pada itu, Zarul sempat meninggalkan pesanan buat orang ramai terutamanya golongan belia agar memanfaatkan usia muda dengan usaha mengejar impian masing-masing.
“Hustle di usia muda. Beranikan diri mencuba benda yang baru,” pesannya.
Video TikTok yang tular: KLIK SINI