Pengarah popular, Michael Ang meluahkan rasa kesal apabila ada sesetengah individu mendakwa turun berat badan kerana produk hakikatnya melakukan pembedahan bariatrik.
Menurut Michael, dia terpanggil untuk membuat video selepas terbaca tentang isu viral melibatkan seseorang.
Katanya, tujuan asal melakukan pembedahan bariatrik kerana dinasihatkan doktor untuk menurunkan berat badan kerana berpenyakit bukan untuk menjadi jurucakap produk.
“Aku nak gelak terbaca fasal isu yang tengah hangat sekarang ni. Kepada sorang yang pernah buat pembedahan bariatrik tu, korang buat prosedur ni bukan sebab nak kurus atau nak jadi jurucakap produk.
“Korang buat prosedur ni sebab korang ada penyakit sebab tu doktor suruh buang perut supaya boleh cepat kurus dan mengawal penyakit,” katanya.
Menerusi video sama, Michael turut berpesan kepada pengasas produk supaya berhenti menipu pengguna.
“Kepada founder produk tu semua, dah-dah lah kau orang pergi buat operation, lepas kurus keluarkan produk.
“Dah memang lepas menjalani prosedur tu akan hilang berat badan, tak perlu bantuan ubat pun…So, tak ada maknanya lepas pembedahan kena makan ubat kurus sebab nak maintainkan berat, kau perlu senaman je,” katanya.
Dalam pada itu Michael menasihati pengguna agar tidak tertipu dengan porduk kurus yang menjanjikan penurunan berat badan.
“Tak payahlah kau orang percaya ubat-ubat ni semua. Aku dah pernah buat, tak berkesan pun. Lepas tu bila berhenti berat naik mendadak.
“Jadi sidah-sudahlah mempergunakan pembedahan bariatrik ini sebagai medium kuruskan badan lepas tu pergi jual produk.
“Kesian orang kat luar sana yang membeli. Kau orang tak kesian ke? Kau tak rasa ke hasil duit kau menipu tu haram?,” luahnya dalam nada geram.
Kebelakangan ini tular di media sosial mengenai keberkesanan pembedahan bariatrik sebagai kaedah menurunkan berat badan.
Walau bagaimanapun, isu mula timbul selepas ada pihak yang dipercayai menjalani prosedur tersebut mengambil kesempatan mengeluarkan ubat kurus dan mendakwa berat badan turun kerana produk mereka.