Sejak kebelakangan ini, isu depresi atau tekanan ini sering dibahaskan lagi-lagi sewaktu ekonomi kita ini dilanda krisis. Kenaikan kos sara hidup dan ketidatentuan ekonomi negara telah menyumbang kepada kenaikan kes yang bermula daripada depresi atau tekanan.
Menerusi laporan Harian Metro, seorang lelaki membatalkan niatnya untuk terjun ke dalam sungai dari Jambatan Sultan Yahya Petra yang terletak di Kota Bharu, semalam.
Hal ini disebabkan beliau dipujuk dan dirayu agar memikirkan nasib keluarganya, termasuk isterinya yang sarat mengandung, sehingga membuatkan dia berubah fikiran terkenang akan nasib keluarganya jika dia pergi begitu sahaja.
Berhubung dengan kejadian tersebut, pujukan itu dibuat oleh Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim, Tengku Marzuki Tuan Mat sebelum lelaki berusia 27 tahun itu berjaya diselamatkan.
Beliau menyatakan bahawa pihaknya telah menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada 10:20 malam tadi.
Mereka bergegas ke lokasi kejadian bagi mendapatkan mangsa di jambatan tersebut.
Sesampainya di lokasi, kelihatan seorang lelaki yang dikatakan keluar dari kereta dan mahu terjun ke dalam sungai.
Menurut Tengku Marzuki lagi, lelaki itu difahamkan sudah berada di atas jambatan tersebut hampir dua jam lalu beliau terus cuba sedaya upaya untuk memujuknya setelah melihat isteri dan ahli keluarganya turut berada berhampiran di lokasi kejadian.
“Saya mendekati mangsa yang duduk bersandar di konkrit penghadang sungai sambil menggosok belakangnya dan memintanya memikirkan keadaan isterinya yang sedang mengandung serta seorang lagi anaknya.
“Pada masa sama, saya juga menasihatinya agar bertenang kerana masalah ada penyelesaiannya, bukan dengan bertindak sedemikian,” jelasnya.
Menerusi kenyataan Tengku Marzuki, dua bot penyelamat juga sudah bersiap sedia di bawah jambatan tersebut untuk menyelamatkan lelaki tersebut jika dia nekad terjun ke dalam sungai berkenaan.
Setelah hampir 10 minit memujuk, Tengku Marzuki berundur sebaik sahaja setelah melihat keadaan lelaki terbabit mula bertenang.
Walau bagaimanapun, lelaki tersebut masih tidak berganjak dari situ.
“Saya kembali mendekati lelaki itu tidak lama kemudian dan menarik tangannya dengan perlahan agar mendapatkan keluarga sebelum kesemua mereka beransur pulang,” ulas lanjut Tengku Marzuki.
Jika anda mengalami kemurungan atau tekanan, sila hubungi:
Mental Health and Psychosocial Support Services (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392