Baru-baru ini banyak kes kemalangan yang membabitkan beberapa buah kenderaan di lebuh raya. Namun kini, kemalangan jalan raya ini membuatkan kesesakan teruk di Jalan Tun Razak oleh kerana kecuaian pemandu kereta mewah Lamborghini.
Difahamkan kenderaan yang dipandu itu hilang kawalan pada kelajuan 200km/j dan melanggar sebuah kereta Proton Perdana berwarna kelabu terbalik serta melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapan.
Kejadian yang terjadi pada awal pagi itu tidak menyebabkan sebarang kematian namun hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka mendapatkan rawatan di hospital Kuala Lumpur.
Orang ramai yang berada di situ membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu turut merakam dan menegur kecuaian dua pemuda itu kerana mereka bukan sahaja cuai malah membahayakan nyawa orang lain.
“Itulah sedarlah awak, memang awak orang kaya tetapi tengok apa yang berlaku,” kata lelaki yang merakam video tersebut.
Salah seorang daripada mereka dengan pantas menafikan dakwaan kereta tersebut milik mereka, sebaliknya berkata Lamborghini itu merupakan kereta sewa sahaja.
“Tak ini bukan kereta saya, ini kereta sewa,” terang pemuda memakai topi yang merupakan salah seorang yang berada di dalam Lamborghini ketika kemalangan tersebut berlaku.
Mereka dikatakan membawa kereta mewah berkenaan untuk cubaan memandu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan menghala pulang.
Kereta terbabit dipercayai milik orang lain dan pemiliknya juga berasa kesal dengan apa yang berlaku kerana pihak mereka seperti mahu lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab.
Dalam satu lagi perbualan Whatsapp, pemilik Lamborghini meluahkan rasa kecewanya apabila pemuda terbabit cuba lepas tangan dengan menyatakan ia kereta sewa.
Semasa kejadian berlaku, kereta mewah itu dipercayai gagal untuk dikawal dan pemandu mendakwa brek tidak makan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh kemalangan itu masih dalam siasatan selanjutnya.
“Kenderaan itu kemudian melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya.
“Setakat ini, pemilik tiga jenis kenderaan iaitu kereta Mazda berwarna merah, Nissan Serena berwarna hitam dan kenderaan jenis pacuan 4 roda jenama Ford Ranger 2.0 berwarna biru telah hadir membuat laporan.”
“Siasatan lanjut diteruskan jika terdapat lain-lain kenderaan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan di bawah Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan di bawah Sekyen 43 ( 1 ) APJ 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee atau mana-mana balai Polis berhampiran,”
Walau bagaimanapun, keputusan saringan air kencing bagi kedua pemuda itu dikatakan negatif dan tiada sebarang pengaruh alkohol.
Terdahulu video kemalangan tersebut telah tular di laman Facebook menunjukkan kereta Lamborghini itu dipandu laju dan terus menghentam sebuah Proton Perdana sehingga terbalik.
Rata-rata netizen kesal dengan apa yang berlaku dan meyifatkan kesalahan tersebut patut ditanggung oleh pemandu kereta mewah itu yang ternyata membahayakan nyawa orang lain.