Bapa kepada Fadhi Akmal Fadzil, 29, salah seorang yang maut bersama empat yang lain dalam insiden kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi memberitahu ada berbalas mesej dengan Allahyarham sebelum kejadian.
“Semalam kami ada berbalas mesej melalui kumpulan WhatsApp keluarga, tetapi saya hairan mesejnya terhenti sekitar jam 9.45 malam. Rupa-rupanya arwah terbabit dalam insiden berkenaan,” kata Fadzil Hassan, 55.
Menurut Fadzil, berikutan bimbang dengan keadaan anak kedua daripada tujuh beradik itu, beliau cuba beberapa kali menghubungi arwah yang bekerja sebagai juruteknik di kompleks berkenaan pada 8.30 pagi tadi, namun gagal kerana talian ditutup, lapor Berita Harian.
Fadzil memberitahu, Allahyarham ada bertanya khabar adik beradiknya menerusi kumpulan Whatsapp.
“Malam tadi, arwah ada tanya khabar kami sekeluarga melalui WhatsApp, arwah ada bergurau dengan adik beradiknya sebelum mesej terhenti begitu sahaja. Saya sangka arwah sibuk, lagipun selalunya arwah akan menghubungi saya setiap pagi.
“Namun pagi tadi arwah tidak berbuat demikian. Saya cuba menelefonnya beberapa kali, namun telefonnya seperti dimatikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Fadzil menerima perkhabaran berhubung kejadian menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan tempat arwah bekerja kira-kira jam 10 pagi tadi.
Walaupun terkejut dan sedih dengan kejadian itu, namun beliau dan keluarga tetap reda dengan apa yang sudah tertulis buat anaknya itu.
Fadzil bagaimanapun sedikit terkilan apabila hasrat arwah untuk membawanya serta isteri, Muhizah Mustafa, 54, ke Kota Tinggi selepas Aidilfitri pada Mei ini untuk melihat rumah yang baru dibeli, tidak kesampaian.
“Kali terakhir arwah pulang ke kampung pada minggu lalu. Dia kata hari raya kali ini tak dapat cuti, tapi lepas hari raya, dia nak bawa saya dan isteri tengok rumah yang baru dibelinya.
“Dia kata rumah berkenaan sedang diubah suai dan dijangka siap selepas hari raya puasa. Nanti siap, dia kata nak bawa kami, tapi apakan daya hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.
Katanya, jenazah dijangka dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Berapit, Tikam Batu, di sini untuk dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berapit.
Terdahulu, satu kebakaran di Diesel Hydro Treater unit di Pengerang, dekat Kota Tinggi, menyebabkan lima ditemui rentung pada Ahad malam.
Manakala seorang mangsa selamat dan seorang lagi didapati 70 peratus melecur dalam kebakaran kira-kira 10.50 malam, kata Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pauzan Ahmad.