Ini lah yang orang sebut bukan biasa-biasa. Bukan saja gagah perkasa membantu orang awam dalam kesusahan, abang bomba dari Unit Hal Ehwal Agama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga merupakan seorang tahfiz.
Penguasa Bomba, Luqman Ramli adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah dari Universiti Al Azhar Mesir.
Sebelum ini, beliau memasuki maahad tahfiz pada usia 13 tahun selama empat tahun sebelum ke Maktab Mahmud, Langkawi bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Menurutnya, menjadi anggota bomba adalah hasrat dan impiannya dari kecil dan terus membuat permohonan SPA selepas habis belajar.
“Saya memang berhasrat untuk menjadi anggota bomba dan sebab itu saya mengisi permohonan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) secara atas talian.”
Nasibnya baik apabila terpilih dan ditempatkan di pusat latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Baru.
“Alhamdulillah hasrat saya tercapai dan menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu sebelum ditempatkan di unit integriti di Putrajaya,”
Luqman berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Pertandingan Tilawah al-Quran, Alunan Azan dan Qasidah peringkat JBPM yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Amer Yusof.
Sebelum berkhidmat sebagai anggota bomba, Luqman terlebih dahulu menjadi guru di Sekolah Menengah Agama Baqayatussolihat sebagai guru tafsir dan hadis selama 3 tahun.
Baginya, menjadi anggota bomba sangat menepati jiwanya dan tidak semestinya beliau perlu menjadi ustaz.
“Berkhidmat sebagai anggota bomba menepati jiwa saya kerana berkelulusan bidang agama tidak semestinya akan bekerja sebagai ustaz,” katanya.
Sekarang Luqman berkhidmat di dalam Unit Hal Ehwal Islam yang diketuai Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Maat yang berkelulusan bidang syariah.
Unit tersebut menempatkan pegawai berkaitan di setiap negeri bagi menyelaraskan program keagamaan dan kerohanian termasuk pengurusan jenazah anggota yang terkorban ketika bertugas.
Semoga Luqman Ramli dapat menjadi contoh tauladan yang baik buat semua.