Perubahan musim monsoon yang melanda di Pakistan bermula pada Jun lepas sehingga hari ini telah meragut sekurang-kurangnya 1,136 maut dan berjuta lagi kehilangan tempat tinggal. Bukan sahaja tempat tinggal, malah kawasan pertanian mereka turut terjejas akibat bencana banjir.
Penduduk tersebut merekodkan bahawa penerimaan hujan kali ini adalah paling lebat yang pernah dialami oleh mereka. Menteri Iklim Pakistan, Sherry Rahman menyatakan kejadian ini adalah kejadian yang paling terburuk dalam sejarah. Beliau mengakui krisis yang berlaku adalah di luar jangkaan.
”Situasi sekarang seolah-olah satu lautan besar, tiada lagi kawasan daratan untuk kami alirkan air.”
”1/3 Pakistan kini benar-benar ditenggelami banjir, ia melepasi semua sempadan dan kebiasaan yang kami jangka dan pernah lihat sebelum ini.”
Beralih kepada BBC, Menteri Luar, Bilawal Bhutto-Zardari menyatakan satu pertiga daripada angka korban tersebut dipercayai melibatkan kanak-kanak. Beliau juga menjelaskan situasi sebenar kerosakkan dan kemusnahan akibat bencana banjir masih lagi belum dikenalpasti secara keseluruhan.
Data rasmi setakat ini menganggarkan sekurang-kurangnya 33 juta orang penduduk Pakistan terjejas. Beribu-ribu penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan diarahkan segera untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Namun dalam keadaan dan situasi yang mendesak, ramai yang masih menanti untuk diselamatkan. Angkatan tentera di negara itu dikerah menyertai misi menyelamatkan mangsa bersama aset-asetnya seperti helikopter.
Bagi mereka yang telah berjaya menyelamatkan diri, kini tepaksa melupakan erti keselesaan dan berhimpit di beberapa kem penempatan sementara yang dibuka oleh kerajaan Pakistan.
Melalui video Twitter yang dikongikan, keadaan banjir di negara tersebut amat menggerunkan. Terlihat sebuah bangunan diranapkan oleh banjir dengan sekelip mata sahaja.
Mengikut rekod negara itu, Pakistan pernah dilanda banjir pada 2010 yang meragut sekurang-kurangnya 2,000 nyawa. Banjir pada tahun tersebut dianggap masih yang terburuk dalam sejarah negara setakat ini.