Sejak kebekelakangan ini, banyak artis-artis tempatan mahupun antrabangsa yang melakukan persembahan jelajah konsert. Tidak ketinggalan, penyanyi yang digelar Ratu Irama Malaysia ini juga bakal mengadakan Konsert Malai Solo Noraniza Idris pada 21 Oktober sehingga 23 Oktober di panggung berprestij Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Noraniza atau lebih mesra dengan sapaan Ani atau Kak Ani mengatakan bahawa Konsert Malai Solo itu adalah konsert pertama dan terakhir beliau yang kini berusia 54 tahun.
Susulan pengumuman tersebut, kecoh di platform media sosial apabila ramai pihak yang mengkritik berkenaan harga tiket konsert Noraniza Idris yang begitu mahal dan ‘cekik darah’. Bukan itu sahaja, mereka siap membandingkan-bandingkan harga tiket konsert tersebut dengan konsert yang lain.
Memetik laporan Media Hiburan, penyanyi ini tampil menjelaskan harga tiket KMSNI berkenanan adalah berbaloi dan tidak mempunyai banyak beza dengan harga konsert yang pernah diadakan sebelum ini.
“Mahal ke? Saya rasa macam okay sebab sudah buat rujukan harga tiket konsert penyanyi lain yang pernah diadakan di Istana Budaya sebelum ini. Harga-harga tiket biasanya RM250 hingga RM1,100. Jadi saya hanya tambah sedikit sahaja daripada harga yang pernah diletakkan penyanyi lain.”
“Lagipun nilai yang saya tetapkan berbaloi dengan persembahan yang bakal disajikan kerana saya menggunakan pengarah muzik dan penari profesional serta teknologi terkini untuk memeriahkan lagi persembahan,” katanya.
Dalam pada yang sama, Noraniza Idris turut memaklumkan telah menerima dana sebanyak RM3 juta daripada sebuah syarikat hartanah untuk menampung kos Konsert Malai Solo itu.
“Syukur Alhamdulillah, saya rasa lega apabila dana ini dapat menampung kos keseluruhan Konsert Malai Solo. Bagaimanapun saya masih mengalu-alukan penaja lain yang ingin membantu membiayai konsert ini,” tambahnya.
Menurutnya, Konsert Malai Solo Noraniza Idris yang dianjurkan oleh NIPV Managament Sdn Bhd ini dilakukan selama dua jam tanpa henti dan akan menyaksikan Kak Ani menyanyikan 24 buah lagu termasuk medley serta diserikan dengan persembahan lebih 300 penari kebudayaan dari seluruh negara.
“Seperti yang ramai tahu identiti saya memang akan datang dengan segerombolan penari. Itu juga yang saya terapkan dalam konsert ini termasuk diketuai oleh pengarah muzik berpengalaman, Datuk Ramli MS.”
“Saya harap konsert ini akan dapat terus mengangkat martabat Irama Malaysia yang selama ini saya perjuangkan supaya ia terus relevan lebih-lebih kepada generasi masa kini,” tambahnya lagi.