Aktivis mahasiswa telah memberikan tempoh tujuh hari kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Tarikh akhir itu diberikan berikutan mesyuarat tertutup antara Maszlee dan mahasiswa berkenaan di Restoran Amjal, di Jalan Pantai Baharu di Kuala Lumpur petang tadi.
https://www.facebook.com/hasmadi.hamdan/videos/10217886507899586/
Mereka menuntut menteri meletak jawatan serta-merta yang mana Maszlee enggan berbuat demikian.
Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mengetuai sekumpulan 10 orang penuntut universiti menyatakan rasa kesal dengan pertemuan selama dua jam itu.
“Pertemuan itu berakhir dengan kami memberikan tempoh tujuh hari (bermula hari ini) untuk segera meletakkan jawatan atau kami akan mengumpul dan mengegrakkan lebih ramai orang untuk melawan beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan itu.
Asheeq berkata menteri pendidikan memberikan alasan tidak wajar untuk kekal sebagai presiden UIAM seperti “membuat perubahan dari dalam.”
Mahasiswa berkenaan berkeras universiti awam patut bebas daripada lantikan politik.
Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan kemudian, Maszlee menjelaskan pelantikan beliau sebagai Presiden UIAM datangnya daripada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah sebagaimana nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Bukan saya lantik diri saya sendiri. Kalau saya lantik diri saya sendiri saya dah lama letak jawatan. Itu bukan keputusan saya kerana saya dilantik pihak atasan saya,” katanya.
Maszlee menganggap dirinya bertindak sebagai seorang bapa kepada aktivis mahasiswa berkenaan dan akan terus memberikan mereka kebebasan untuk menyuarakan keprihatinan mereka.
“Mereka semua anak saya. Sebagai bapa, kena mendengar keluhan anak-anak. Melaksanakan janji keterbukaan kita, kita beri peluang bersuara. Kita beri kebebasan kepada mereka untuk berdialog dan bertemu,” katanya.
Maszlee berkata beliau beriltizam menukar UIAM menjadi “Oxford untuk negara-negara Islam.”
“Pada hari ini, UIAM sedia lakukan perubahan dan maju ke depan. Slogan mereka kembalikan kegemilangan UIAM dan saya ingin membantu mereka,” katanya.
Kemudian, kumpulan mahasiswa berkenaan menjeritkan slogan “undur Maszlee” beberapa kali ketika menteri berjalan ke arah keretanya.
Bagaimanapun, Maszlee berhenti dan menyantuni kumpulan mahasiswa yang sedang melaungkan bantahan mereka.
Dengan senyuman, beliau kelihatan tenang dan yakin serta malahan menawarkan Asheeq sebotol air mineral ketika aktivis itu memimpin laungan slogan sebelum beliau beredar meninggalkan tempat itu.
[su_note note_color=”#d8d0c3″]Sumber Rujukan: Malaysiakini[/su_note]