Sejuk perut ibu mengandung apabila dua beradik yang mewakili dua negeri berlainan muncul johan dan naib johan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Dewan Perbandaran Seremban.
Nor Farhatul Fairuzah Panut, 19, dari Negeri Sembilan diumumkan sebagai johan qariah manakala kakaknya, Nor Faizah Panut, 30, yang mewakili Selangor diumumkan sebagai naib johan qariah.
“Sebenarnya saya hadir sekadar untuk mencuba dan Alhamdulilah rezeki memihak.
Selepas ini saya akan menambah latihan dan memperbaiki bacaan,” ujarnya.
Nor Faizah berkata, kejayaan adiknya, Nor Farhatul Fairuzah, 19, ditabalkan johan tilawah amat membanggakan kerana ia penyertaan pertama sekaligus memenuhi impian arwah ayahnya, Panut Markom, 70 yang meninggal dunia pada 2017.
“Arwah ada berpesan teringin melihat seorang anaknya bergelar johan tilawah. Malam ini (tadi) adik (Nor Farhatul) memenuhi impian itu,” katanya sebak.
Guru Pendidikan Islam di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor itu berkata, adiknya mewakili Negeri Sembilan kerana belajar di tingkatan enam di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Seremban.
Katanya, orang tuanya pernah menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan dengan ibunya, Jaliah Simin, 63 meraih tempat ketiga pada 2004.
“Walaupun ia pertandingan, saya dan adik sama-sama berusaha memperbaiki bacaan dan taranum. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada kami berdua,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Menurut Nor Faizah, dia menyertai majlis tilawah tujuh kali iaitu pada 2008, 2009, 2010 dan 2011 dengan meraih naib johan buat kali ketiga pada 2014, 2016 dan tahun ini.
“Allah memberikan masa kepada saya untuk memperbaiki bacaan dan taranum selain menambah ilmu. Kami memiliki ramai guru terutama ibu bapa,” katanya yang berasal dari Kampung Hulu Cucuh, Sepang, Selangor.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, penghargaan diberi kepada suaminya, Muhammad Zahid Yusof, 31 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar yang banyak menyokong terutama membabitkan masa.
Sementara itu Nor Farhatul bersyukur dengan kejayaan itu dan tidak menyangka penyertaan kali pertama menyaksikannya dinobatkan johan.
Anak bongsu itu berkata, ibu dan kakaknya sentiasa memberikan sokongan termasuk tiga adik beradik yang lain.
“Sebenarnya saya hadir sekadar untuk mencuba dan Alhamdulilah rezeki memihak. Selepas ini saya akan menambah latihan dan memperbaiki bacaan,” katanya yang akan mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 15 hingga 20 April depan.
Peserta dari Selangor, Abdul Khair Jalil dinobatkan sebagai johan qari manakala tempat kedua diraih oleh qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan ketiga, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Wilayah Persekutuan.
Tempat ketiga qariah disandang oleh Awatif Abd. Majid dari Pulau Pinang.
Abdul Khair memperoleh markah sebanyak 89.68 peratus manakala Nor Farhatul Fairuzah meraih 86.67 peratus.
Johan qari dan qariah bagi kategori tilawah menerima wang tunai RM15,000, dan ditambah dengan tunai RM10, 000 khusus untuk menunaikan ibadah haji, cederamata dan sijil penyertaan.
Seramai enam peserta turut dipilih sebagai johan hafazan al-Quran lelaki dan wanita bagi tiga kategori sempena penganjuran serentak kedua-dua majlis berkenaan tahun ini.
Bagi hafazan kategori juzuk satu hingga 30, johan lelaki dimenangi hafiz Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail dengan markah 97.93 peratus manakala kategori wanita diungguli hafizah Kedah, Raudah Abdul Razak (94.43 peratus).
Johan hafazan juzuk satu hingga 20 pula dimenangi hafiz Selangor, Ahmad Adil Luqman Ismail (97.63 peratus) dan hafizah Perak, Adibah Husni Ahmad Rozaini (96.53 peratus) manakala johan kategori juzuk satu hingga 10, masing-masing milik hafiz Selangor, Muhammad Al-Nawawi Borhan (98.44 peratus) dan hafizah dari negara yang sama, Ummi Najdah Abd. Samad (97.43 peratus).
Johan lelaki dan wanita kategori utama hafazan juzuk satu hingga 30 membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, tambahan simpanan emas RM1,400 daripada kerajaan negeri serta piala iringan.
Selangor dipilih sebagai johan keseluruhan tilawah manakala johan keseluruhan hafazan diungguli tuan rumah, Negeri Sembilan.
Majlis ini bermula sejak 18 Mac lalu dan telah menghimpunkan keseluruhan 107 peserta dari seluruh negara.
Seramai 28 orang peserta bagi tilawah serta 79 peserta bertanding bagi hafazan dari setiap negeri yang menyertai.