Beberapa hari lepas tular satu video seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang gigih dalam menuntut ilmu sehingga terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.
Veveonah terpaksa berbuat sedemikian bagi menjawab peperiksaan dalam talian.
BACA: [VIDEO] Gadis Sabah Panjat & Tinggal Atas Pokok 24 Jam, Demi Cari Line Internet Kuat Jawab Ujian
Rentetan daripada itu, Yayasan Nur Jauhar berkenan memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M. Jasni selaku penasihat Yayasan Nur Jauhar di Istana Negeri, Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi yayasan, Kolonel (Kehormat) Al-Hambra Tun Juhar, Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin serta ibu bapa Veveonah iaitu Mosibin Makrun dan Rofinah Ungo.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Taufiq berkata pihak pengurusan UMS telah bersetuju menyediakan biasiswa sekiranya Veveonah ditawarkan melanjutkan pengajian dalam program ijazah sarjana muda di universiti berkenaan.
“Kita harap beliau akan mengharungi cabaran menuntut ilmu dengan baik dan semoga dia cemerlang dalam akademik sekali gus mendapat pekerjaan baik kelak,” katanya.
Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, tular di media sosial apabila video yang menceritakan pengalamannya memanjat pokok di kampungnya demi mendapatkan capaian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian dimuat naik olehnya di YouTube mendapat tontonan ramai serta reaksi positif warganet.
Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut mengumumkan rancangan untuk membina menara telekomunikasi di Kg Bilangau Kecil, Pitas untuk menambah baik liputan internet di kawasan sekitar selepas tersiarnya video berkenaan.
Sementara itu, Veveonah, 19, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yayasan atas sumbangan itu yang disifatkannya sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Mengenai video pengalaman menjawab peperiksaan di atas pokok seperti dikongsikan di saluran YouTube miliknya, Veveonah berkata, dia sendiri tidak menyangka video itu akan tular.
Namun dia merasa gembira dan berterima kasih atas perhatian pihak berkaitan yang mengambil tindakan susulan menyediakan kemudahan internet di kampungnya.
“Pertama sekali saya buat video itu hanya sekadar suka-suka selain ingin berkongsi pengalaman bagaimana saya menjawab peperiksaan dalam talian.
“Saya berterima kasih sekiranya ada pihak mengambil tindakan untuk kemajuan di kampung saya dengan membina menara telekomunikasi dan ini adalah harapan saya kerana internet sangat penting pada masa sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Veveonah yang bercita-cita menjadi seorang guru atau pensyarah itu menjadikan ibu dan bapanya, yang bekerja sebagai petani sebagai pendorong untuk terus berjaya, selain berharap bidang pendidikan akan mengubah kehidupannya bersama keluarga.
Selain Veveonah, Yayasan Nur Jauhar turut menyampaikan sumbangan kepada seorang lagi pelajar Sabah yang menuntut di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) iaitu Mohd Hainif Alimanja.
Rata-rata netizen mengucapkan tahniah ke atas pelajar terbabit dan mendoakannya agar terus rajin belajar dan berusaha.