Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak kecil mereka menderita disebabkan penyakit? Kalau boleh diketip nyamuk pun dihalangnya, apatah lagi melihat si anak sakit.
Bagi mereka, lebih baik sakit itu biar mereka sahaja yang rasa dan bukan anak-anak mereka.
Walau bagaimanapun, sebagai ibu bapa harus percaya, setiap ujian yang datang pasti akan ada manisnya nanti.
Begitulah kehidupan Nurul Ezzati Anuar, 37 yang mempunyai anak kecil berumur tiga tahun dan disahkan menghidap penyakit leukemia.
Anaknya, Aisha Mohamad Syukri dikatakan mengalami perubahan seperti kerap demam dan hilang selera makan.
“Anak saya demam sekejap-sekejap sejak Januari sampai Mac 2021. Tapi apabila masuk bulan April dia alami demam berpanjangan hingga muka jadi sangat pucat. Dia tak lalu makan sampai berat badan menurun.
“Awal-awal dulu tak perasan langsung ia adalah simptom dan kalau tanya ibu bapa yang ada anak leukemia pun mesti akan cakap benda sama. Sekarang ni apabila saya scroll balik gambar lama baru nampak, pucatnya Aishah dulu.
“Aisha masuk wad dekat sebuah hospital di Shah Alam pada 9 April tahun lalu. Keputusan pemeriksaan denggi negatif. Apabila doktor tak boleh buat apa dah, dia suruh pergi HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah) dekat Klang,” katanya yang menetap di Klang, Selangor.
Katanya lagi, selepas mendapatkan rawatan di HTAR, bacaan darah Aisha bertambah baik. Oleh itu doktor menyimpulkan Aisha cuma terkena ‘viral fever’ kerana tiada tanda-tanda pendarahan mahupun lebam pada badan.
Walaupun sudah menunjukkan tanda-tanda baik, Aisha mula mengalami gejala lain seperti sakit tangan dan kaki selepas pulang ke rumah.
Oleh itu Aisha dikejarkan ke sebuah lagi hospital swasta di Shah Alam.
“Ini la simptom paling jelas. Tapi kami masih tak boleh terima. Saya cuba cari petua di internet. Saya juga cuba ikhtiar bawa dia mengurut.
“Tak sangka lepas tu bacaan darah Aisha menurun jadi terpaksa bawa jumpa pakar semula. Ketika doktor terangkan, dia memang syak anak saya menghidap leukemia. Jadi doktor minta saya balik dulu.
“Dua hari masa tunggu tu memang saya berendam air mata saja. Selang beberapa hari iaitu pada 18 Mei saya dapat panggilan daripada doktor dan sahkan Aisha ada leukemia,” katanya.
Walaupun hatinya luluh mendengar perkhabaran itu, dia terpaksa menerima kenyataan bahawa anaknya menghidap penyakit Acute Lymphoblastic Leukemia.
Menurut Ezzati lagi, anaknya dibotakkan bagi memudahkan proses rawatan.
“Aisha seorang yang ceria walaupun terpaksa jalani semua ni masa kecil dengan memakai beg chemo port. Sekarang dia dah mula faham.
“Dah tiga kali Aisha dibotakkan. Masa pertama kali dia dibotakkan tu, saya dan suami terangkan baik-baik supaya dia faham tapi Alhamdulillah dia okey saja.
“Sekarang Aisha dah remission tapi masih jalani rawatan. Syukur sekarang Aisha dah masuk long-maintenance. InsyaAllah dua hingga tiga minggu lagi doktor akan atur untuk buka chemo port,” katanya.
Setakat ini, video kepala Aisha dibotakkan di TikTok sudah mencecah tontonan sehingga 673.6 ribu dan 120.4 tanda suka!
Video yang tular di laman TikTok