Menerusi akaun Facebook milik seorang aktivis terkenal, Syed Azmi ada berkongsi luahan sedih seorang wanita apabila mengetahui dirinya merupakan anak tidak sah taraf.
Apa yang membuatkannya terkilan adalah status kelahiran tersebut hanya terbongkar beberapa hari sebelum majlis pernikahannya berlangsung.
Rahsia puluhan tahun terbongkar akhirnya
Seorang wanita yang dikenali nama Bunga mengakui sangat terkejut selepas mengetahui bahawa dirinya berstatus anak tidak sah taraf.
Menurut wanita yang berusia 24 tahun ini, perkara tersebut akhirnya terbongkar selepas dia pergi ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk menguruskan hal pernikahannya memandangkan majlis akan berlangsung tidak lama lagi iaitu pada 14 Mac 2021.
Saya perlukan sokongan untuk terus kuat
Dia pada awalnya menyangka, segala urusan dapat diselesaikan dalam masa terdekat tetapi sebaliknya pula yang terjadi apabila dia telah menerima berita mengejutkan.
“Assalamualaikum tuan Syed. Saya Bunga (bukan nama sebenar) dan berumur 24 tahun. Saya perlukan sokongan, pandangan dan perkara apa yang perlu saya buat untuk terus kuat dalam meniti hari² seterusnya.”
“Buat pengetahuan tuan, kelmarin adalah hari yang paling teruk untuk diri ini. Hari yang sepatutnya selesai urusan, rupanya tidak. Lagi 5 hari saya akan bernikah dengan pasangan pilihan hati. (Tarikh akad nikah 14 Mac, Ahad)“.
Kedua ibu bapa datang bersama untuk hantar borang nikah saya
Kelmarin, 8 Mac, Isnin, saya dan kedua ibu bapa datang bersama sama ke JHEAINS di daerah di mana kami tinggal, untuk menghantar borang permohonan nikah saya.
Pagi sebelum bertolak hati saya sangat senang dan bahagia, kerana sudah set di minda, lepas sahaja urusan borang permohonan nikah selesai, saya boleh meneruskan beberapa lagi urusan lain mengenai majlis akad nanti.
Kena guna wali hakim ni
“Balik kepada situasi menghantar borang di pej., nama saya pun telah dipanggil. Ibu bapa saya juga turut berada disamping saya.
“Reaksi staff yg berada di kaunter agak resah dan rasa bersalah. Dia seolah² tidak tahu mana nak mulakan dahulu. Saya turut bingung dan bertanya, “Kenapa kak, ada masalah?”.
“Staff itu menjawab, “Kena guna wali hakim ni”. Kemudian dia menunjukkan tarikh nikah kedua org tua saya yg tertera pada sijil nikah serta menunjukkan no. kad pengenalan saya.”
Nikah memang sudah ada isi ke
“Staff itu juga mengajukan soalan pelik kepada ibu saya, “Maaf puan. Tapi mahu tanya, masa puan nikah dulu, memang sudah ada isi ka atau macam mana?” dan ibu saya hanya mengangguk, mengiyakan soalan yang diaju.”
“Saya tidak percaya, sama sekali tidak. Kening saya terus berkerut dengan cepat otak saya mengira bulan nikah orang tua saya iaitu pada bulan November dan saya pula telah dilahirkan pada bulan Mei.”
Hati saya sakit dan hancur
“Hati saya tertusuk sakit tuan. Hati saya sakit, hati saya hancur. Saya baru tahu yang saya adalah anak luar nikah. Anak yang tak sah taraf.”
“Pada masa yang sama bapa saya masih bingung dan sempat bertanya, “Kenapa si Bulan (bns) okay saja urusan haritu?” dan saya menjawab dengan nada tidak puas hati, “Sebab dia bukan anak pertama!”
“Bulan merupakan adik kedua saya & mendapat rezeki awal untuk berumahtangga pada tahun 2019 (Langkah bendul dengan saya kakaknya).”
“Kami diminta untuk menunggu di lagi bagi soal siasat dan sesi kaunseling. Dalam waktu menunggu saya duduk berjauhan daripada orang tua saya.”
Mereka tidak kisah akan perasaan saya
“Kedua orang tua saya tidak memujuk saya, tidak berkata maaf, tidak berkata jujur apa² berkaitan masa lalu mereka dengan saya.”
“Malah ibu saya sempat bergelak ketawa tak ambil serius dengan diri saya. Ayah saya pula terus sibuk dengan melayan telefon. Mereka tidak kisah akan perasaan saya.”
“Pada mulanya saya memang tahu tarikh nikah orang tua saya pada bulan November. Cuma saya langsung tak terlintas difikiran yang saya anak luar nikah.”
Saya terfikir mungkin saya dilahirkan tak cukup bulan
“Sebab saya terfikir mungkin juga saya dilahirkan tak cukup bulan. Dan saya hanya membiarkan perkara ini sehinggalah pada hari kelmarin baru terbongkar semuanya.”
“Staff tersebut juga memberitahu bahawa perkara ini harus dibawa ke mahkamah rendah syariah untuk mendapatkan wali hakim.”
“Saya sangat emosi. Saya menangis. Saya menangis tersedu dan tak kisah dilihat oleh orang lain yang berada di situ.”
Saya rasa tak layak hidup dan bergaul dengan orang sekeliling
“Saya malu tuan, naik turun pejabat agama. Malu untuk semua perkara. Kalau boleh masa dalam perjalanan ke makahmah syariah petang itu saya nak buka pintu kereta dan terjun di jalan raya dan biar digilis dengan kenderaan lain.”
“Saya rasa saya tak layak hidup dan bercampur gaul dengan orang sekeliling. Saya rasa hina. Saya rasa sedih teramat.
“Saya rela mati dalam janin ibu saya daripada dilahirkan di muka bumi ini. Sungguh besar ujian ini.”
Patutlah keluarga ibu dan ayah saya kurang baik
“Saya juga baru sedar, patutlah kedua pihak keluarga ibu ayah saya kurang baik. Layanan yang diberikan kepada saya semasa kecil amat berbeza dari sepupu² lain, terutamanya atok nenek.”
“Hal ini belum diketahui oleh keluarga bakal mentua saya, bakal suami pula sudah tahu dan masih menerima diri ini, alhamdulillah. (Salah satu sebab saya mahu meneruskan hidup).”
“Lama kelamaan mereka akan tahu apa status saya. Hal ini akan menjadi bualan orang ramai apabila akad nikah nanti. Disebabkan saya perlu berwalikan hakim bukan wali (bapa kandung).”
Status anak luar nikah akan melekat hingga saya hembus nafas terakhir
“Dan saya akan dicop anak luar nikah. Status anak luar nikah inilah yang melekat terus sehingga saya menghembuskan nafas terakhir.”
“Hari Khamis ini, 11 Mac, merupakan tarikh perbicaraan saya mengenai kes ini. Doakan saya agar kuat untuk menghadapi semua perkara, doakan saya juga agar perbicaraan berjalanan lancar dan dapat menyempurnakan majlis akad nikah pada hari Ahad minggu ini.”
“Dalam hal ini, saya bukan mencemuh kedua orang tua saya. Saya sayang mereka. Syukur saya masih dapat berfikiran waras untuk tidak berbuat perkara yang tidak diingini daripada berlaku.”
Saya bersyukur mereka jaga saya baik hingga sekarang
“Saya bersyukur mereka menjaga saya dengan baik sehinggalah sekarang. Mereka juga yang menjadi tulang belakang saya dalam menjayakan majlis akad tidak lama lagi.”
“Tapi sehingga ke saat ini, mereka berkata apa² kepada saya. Apa perlu saya buat tuan? Saya buntu tuan.”
Susah untuk saya terima status saya
“Mereka adalah orang tua kandung saya tuan. Cuma mereka tersalah langkah. Dalam pada masa yang sama saya juga tidak mahu mereka menahan malu disebabkan hal ini.”
“Bila terfikir semula, saya nangis tuan. Tapi saya masih tak boleh nak terima tuan. Susah untuk saya nak terima dengan status saya tuan.”
Jelasnya lagi, kes ini juga telah dirujuk ke Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan wali hakim selain dia berharap agar segala urusan pernikahannya dipermudahkan.