Sebagai doktor perubatan, sudah pasti bermacam-macam pengalaman yang pernah mereka alami.
Detik gembira mahupun menyayat hati sudah sebati memandangkan pekerjaan mereka melibatkan nyawa manusia.
Beberapa hari lepas, tular sebuah video di laman TikTok berkenaan kisah menyayat hati ketika bertugas di unit pediatrik.
Perkongsian tersebut dibuat oleh seorang doktor yang bernama Shazwanie Azeera dan telah menarik perhatian ramai tentang penyakit yang diceritakan.
Memandangkan ramai yang belum tahu tentang penyakit tersebut, secara tidak langsung memberi sedikit didikan dan kesedaran kepada orang ramai.
Menurut Dr. Shazwanie, setiap manusia, lelaki mahupun perempuan semuanya mempunyai kuman GBS atau Group B Streptococcus yang tidak merisikokan orang dewasa jika kadar jangkitannya terkawal.
Pun begitu, jika bayi yang masih kecil sama ada sebelum atau selepas dilahirkan dijangkiti kuman ini, bayi mempunyai risiko untuk maut.
Video yang tular di laman TikTok
Itulah yang terpaksa ditelan oleh seorang ibu muda di mana bayi yang baru sahaja sejam dilahirkan secara normal mengalami kesukaran bernafas ketika sedang menyusu badan.
Menurut Dr. Shazwanie, hasil pemeriksaan dapati bayi itu rupanya dijangkiti kuman GBS dan berkemungkinan si ibu tidak mengetahui bahawa dirinya pembawa bakteria GBS.
Sejak video ini dikongsi, ianya berjaya meraih tontonan sebanyak 468.2 ribu dan 26.1 ribu tanda suka!
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terbuka minda dan mata tentang bahayanya jangkitan kuman ini terutama sekali wanita selain berkongsi pengalaman yang sama.