Siapa tak kenal dengan youtuber terkenal iaitu Syahmi Sazli, bukan hanya mejadi content creator yang berjaya malah dia juga pernah membuka gerai air balang yang nyata menjadi fenomena pada bulan puasa yang lalu.
Manakan tidak, air buahnya yang tidak kedekut malah ditambah pula dengan aiskrim di dalam balang, memang sangat menarik dan sedap.
Pun begitu, baru-baru ini Syahmi tampil mengumumkan bahawa perniagaan air balang yang diusahakannya akan dihentikan pada minggu ini.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik olehnya sendiri di laman Facebook rasmi Syahmi Sazli Production sebentar tadi, keputusan itu dibuat atas beberapa faktor termasuklah bimbang terambil hak orang lain.
“Salam semua. Ni ada berita pasal kedai air balang Mi ni. Mengambil kira beberapa faktor antaranya adalah parking (Mi risau terambil hak parking orang lain) dan faktor lain lagi.”
“Mi memutuskan untuk mengakhiri jualan air balang Mi pada minggu ini. Jadi, last Mi jual adalah esok (Khamis),” katanya dalam kenyataan itu.
Syahmi Sazli juga berharap agar satu hari nanti dapat menambah baik sistem perniagaan.
“InsyaAllah ada rezeki depan hari, Mi akan buka dengan kedai yang lebih besar dan selesa,” katanya.
“Terima kasih semua yang pernah mengunjungi kedai air balang Mi,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, dia sempat memohon agar orang ramai sentiasa menyokong filem kedua arahannya, 35mm yang bakal ditayangkan pada bulan ini.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen mendoakan agar Syahmi Sazli dimurahkan rezeki dan dapat membuka kedai yang lebih selesa pada hari akan datang.
Bukan itu sahaja, netizen juga kagum dengan sikap Syahmi yang tidak mementingkan diri sendiri dan memikirkan orang lain malah tidak mahu mengambil hak orang lain.
Antara komen warga maya:
“air balang mi sedap sungguh”
“awak dah ada nama, niaga kat mana pun insyaAllah orang akan datang”
“Terbaik. Ingat pesan Almarhum Tok Guru Nik Aziz, peniaga yang berjaya adalah peniaga yang menjaga hak orang lain”
Perkongsian yang tular: