Walau di mana pun kita berada, tiada apa yang dapat menjamin keselamatan meskipun berada di bawah bumbung rumah sendiri.
Lebih ngeri dan trauma apabila kita menjadi mangsa pecah masuk individu yang tak dikenali ke rumah kita.
Baru-baru ini, seorang wanita berdepan denga detik cemas apabila dia dan suaminya ternampak seseorang di balkoni rumah mereka.
Menurut Phoebe Shafinaz, kejadian berlaku pada jam 12.43 malam ketika dia dan suami sedang bersantai di ruang tamu kondominium mereka.
“Saya sentiasa paranoid tentang keselamatan diri dan orang tersayang. Hari ini (30 Mac) terbukti bahawa ada bagusnya menjadi seorang yang paranoid.
“Saya sedang tengok-tengok telefon apabila suami tiba-tiba menjerit. Saya angkat kepala dan melihat seorang lelaki dengan ketinggian kira-kira 6 kaki di balkoni.
“Lelaki itu cuba buka sliding door dan kami nampak ada seorang lagi lelaki baru saja turun ke balkoni dari tingkat atas,” jelasnya.
Walaupun mereka berdua panik saat itu, suaminya memberanikan diri berlari ke arah pintu bagi memastikannya ia benar-benar dikunci.
Ketika itu, suaminya dikatakan berada terlalu rapat dengan penceroboh di luar yang kemudiannya meminta mereka diam.
“Saya berlari ke arah suami dan menariknya dari pintu untuk pastikan dia selamat. Kemudian saya menghubungi polis, pengawal keselamatan dan menghantar mesej SOS (kecemasan) dalam WhatsApp grup kondo.
“Beberapa perkara terus berlegar di fikiran saya. Apa akan jadi kalau kami tidak mengunci pintu? Apa yang akan berlaku kepada kami jika lelaki itu berjaya masuk? Apa yang akan berlaku jika kami sudah tidur? Bagaimana jika mereka masuk, menjadikan kami tebusan atau memaksa kami melindungi mereka?.
“Saya pun buntu. Saya tak mahu fikir negatif. Saya mahu percaya bahawa lelaki itu hanya melarikan diri dari sesuatu dan hanya lalu di rumah saya,” katanya yang tinggal di tingkat 12.
Tambahnya lagi, kejadian itu umpama mimpi ngeri jadi realiti kerana perkara itu benar-benar berlaku seperti yang pernah dibayangkan selama ini.
“Sebab itu saya selalu paranoid. Tak ada yang mustahil untuk berlaku pada zaman ini. Apa-apa saja boleh terjadi. Sejak pindah ke sini, saya selalu membayangkan ada orang asing di balkoni dan hari ini ia berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut rasa terharu dengan suaminya yang sanggup melindunginya dalam apa jua keadaan.
“Suami betul-betul sanggup mempertaruhkan keselamatannya sebab nak kunci pintu. Kami tak dapat tidur semalaman selepas kejadian itu.
“Jadi suami tempah hotel hanya supaya kami boleh tidur beberapa jam sebelum bekerja. Ya, kami agak trauma tetapi belajar banyak daripada pengalaman ini.
“Saya cadangkan semua orang di luar sana untuk sentiasa mengunci pintu dan tingkap anda. Walaupun langkah itu nampak kecil dan mudah, tetapi ia boleh menjadi sebab kini anda masih hidup,” katanya
Ciapan yang tular di laman Twitter