Pelakon remaja, Mia Sara Nasuha yang sudah lima tahun berhijab,mendedahkan masih ada syarikat produksi yang memberi tawaran berlakon, memintanya membuka tudung bagi menghidupkan watak.
Menerusi laporan Berita Harian, Mia mengaku tersinggung dengan syarat itu dan berkata permintaan agar dia menanggalkan hijab diajukan beberapa kali, terutama ketika dirinya mula berhijrah.
Disuruh buka tudung demi karakter
“Berikutan sudah bertudung, saya fikir ini ‘common sense’ (masuk akal) untuk mana-mana individu tidak menyuruh saya membuka tudung.
“Namun, baru-baru ini, saya mendapat tawaran di mana individu terbabit menyuruh saya membuka tudung untuk menjayakan satu karakter.
“Individu terbabit bukan orang Islam tetapi dia rakyat Malaysia. Saya sangat tersinggung, apatah lagi apabila memikirkan, dia mempunyai keberanian untuk bertanya mengenai perkara itu.
“Keadaan itu seolah-olah mengambil seseorang seseorang berlakon tetapi menyuruh dia tidak berbaju (dalam menghidupkan watak).
“Secara jujur, saya selalu mendapat tawaran meminta saya menanggalkan hijab dan disebabkan itulah, saya tolak tawaran itu,” katanya.
Punca kurang menonjol
Menurut Mia lagi, oleh kerana asyik menolak tawaran berlakon, menjadi antara punca ada pihak menganggap dirinya kurang menonjol sekarang.
“Orang ramai fikir saya sudah berhenti berlakon kerana mahu fokus kepada pelajaran. Peminat tidak tahu kerjaya seni saya agak perlahan kerana banyak menolak tawaran,” katanya.
Mia turut mengakui asyik diminta menanggalkan hijab, dia hilang keyakinan untuk kembali berlakon.
“Apabila diajukan tawaran seperti itu (buka tudung), kadang-kadang saya boleh hilang keyakinan diri. Saya pakai tudung bukan sebab dipaksa keluarga atau netizen. Saya berhijab atas kemahuan sendiri.
“Itulah sebabnya saya istiqamah kerana saya percaya, niat kita perlu betul dalam perihal begini. Jadi, saya harap orang boleh menghormati saya yang sudah bertudung,” katanya.
Tidak simpan amarah
Namun begitu, Mia tidak menyimpan amarah kerana mungkin individu yang meminta dirinya menanggalkan tudung untuk menghidupkan watak, kurang pemahaman mengenai agama Islam.
“Kita tidak perlu marah pihak terbabit… Kita hanya boleh menolak kerana selalunya, pihak produksi tidak akan memaksa kita. Kita juga ada hak untuk menyatakan tidak atas permintaan itu.
“Kalau orang itu memaksa, jawapannya tetap tidak. Takkan kita mahu buka tudung semata-mata kerana permintaan itu.
Tidak perlu takut mengenai rezeki sebab ganjaran dari Allah lebih besar daripada apa yang kita fikirkan. Jadi, alasan takut tiada rezeki adalah salah,” katanya.
Minat berlakon tak pudar
Diuji pada usia muda, Mia mengaku minatnya dalam dunia lakonan tidak pernah pudar dan mahu terus berjuang.
“Biar apa pun terjadi, saya tidak akan berhenti berlakon. Walaupun di bawah tekanan, iaitu bukan sahaja daripada netizen malah stesen televisyen (TV) yang tidak faham situasi saya, Insya-Allah saya akan terus berlakon dengan sokongan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Mia turut meluahkan rasa terharu apabila banyak pihak prihatin dengan situasi dialami termasuk pelakon senior, Lisa Surihani dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan, yang menjayakan forum khas membicarakan isu artis bertudung atas inisiatif Nurflix.tv, baru-baru ini.
“Saya tonton forum itu dan sangat terharu. Saya tidak sangka mereka mengambil berat. Apabila tahu ada yang memberikan sokongan moral, setidak-tidaknya kuranglah beban di hati saya.
“Terima kasih juga kepada Mama Lisa yang turut memberi kata-kata semangat, nasihat dan idea apa yang boleh saya lakukan dalam bidang ini.
“Saya lega diberi peluang meluahkan perkara ini. Jangan salah anggap, saya luah bukan hendak memburukkan individu tertentu tetapi mahu orang lebih peka.
“Kepada mereka yang mungkin tidak tahu soal buka tudung ini, sekarang mereka lebih memahami,” katanya.
Lisa kagum
Sementara itu, Lisa, 34, kagum dengan pendirian Mia yang berpegang kuat kepada perintah Allah biarpun jauh lebih muda dan masih mentah.
“Mia ibarat anak angkat. Saya pernah berlakon sebagai emak dan sehingga hari ini dia panggil saya Mama. Mia berhijab lebih awal daripada saya. Kagum melihat dia sabar menghadapi ujian yang boleh mencabar imannya.
“Saya lihat Mia berpegang kuat walaupun keadaan itu seolah-olah menggugat periuk nasinya. Namun, perintah Allah diikut,” katanya.
Tidak pernah diminta tanggal tudung
Sepanjang tiga tahun berhijab, Lisa tidak pernah diminta menanggalkan tudung bagi menghidupkan watak.
Namun, Lisa tidak menafikan, permintaan seumpama itu menimbulkan suatu stigma yang menakutkan pelakon wanita yang mahu berhijrah.
“Stigma pelakon risau bertudung kerana takut hilang kerja memang wujud. Saya masih ingat, apabila berada di Makkah, saya dikurniakan hidayah untuk menutup aurat.
“Saya terdetik bagaimana dengan tawaran berlakon? Namun, Alhamdulillah, selepas berbincang dengan ibu, saya yakin dengan ingatan yang datang dalam hati ketika itu.
“Biarpun jawapan agak klise dan saya pernah beritahu perkara sama kepada wartawan, memang benar, rezeki datang dari Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Lisa meluahkan rasa syukurnya kerana selepas berhijab rezekinya murah, malah selalu menerima pelbagai tawaran.
Diharapkan perkara yang berlaku kepada Mia Sara ini tidak berulang lagi dan pihak produksi sepatutnya lebih sensitif dalam isu sebegini.