Penghijrahan ke arah yang lebih baik semestinya bukan perkara yang mudah buat setiap individu. Sedar atau tidak sedar, akan banyak dugaan yang tidak akan dijangka boleh berlaku. Usaha dalam mencuba sesuatu terumata sekali memakai hijab dengan niat yang betul pasti akan dipermudahkan.
Pun begitu sama juga dengan penyanyi rap terkenal, Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahlil ini mengakui dia tidak pernah merindukan penampilan yang lama dan sentiasa beringat untuk kekal istiqamah dalam kehidupannya. Walaupun dahulu dilabel sebagai wanita yang seksi, namun penampilannya semakin menjadi tumpuan dek kerana imejnya yang semakin tertutup dan sopan.
Memetik laporan Kosmo, Zizi mendedahkan perkara yang paling sukar selepas berhijab adalah berpegang kepada niat awalnya untuk berubah. Proses yang dihadapinya merupakan proses yang dilakukan secara perlahan agar tidak keterlaluan dan memaksa diri.
“Sebenarnya nak istiqamah itu yang paling susah untuk dilakukan. Sebab itu ketika awal-awal pasang niat untuk bertudung, saya buat secara perlahan-lahan. Bukan drastik. Saya mulakan ketika bulan Ramadan.”
“Kiranya saya praktikkan supaya perubahan tersebut tidak terlalu mengejut untuk diri sendiri. Macam sekarang apa-apa persalinan yang saya pakai, saya akan tengok dulu sama ada sesuai atau tidak.”
“Dari segi kerjaya pun sama. Apabila buat persembahan kena tengok penampilan. Banyak benda yang perlu diambil kira. Ada batas perlu dijaga. Berbeza berbanding dahulu. Saya tidak pernah terdetik pun rasa rindu penampilan lama. Saya nekad, memang terus berdoa untuk kekal penampilan sekarang. Cuma bagi saya jangan sebab kita nak berhijrah kerana orang lain” katanya.
Dalam pada itu, Zizi turut berharap agar masyarakat tidak mengecam individu yang tidak kembali memakai tudung kerana dia percaya perkara tersebut bukan sesuatu keputusan yang mudah buat mereka sebaliknya lebih baik kita hanya mendoakan yang terbaik sahaja.
“Saya rasa kasihan kerana kita tidak tahu apa yang mereka hadapi. Apakah dugaan sampai ada yang terpaksa berbuat sedemikian. Saya percaya itu satu keputusan yang berat. Tapi saya nak komen lebih-lebih pun tak boleh. Kalau terjadi kepada diri sendiri bagaimana?”
“Saya pun tak pasti perjalanan hidup saya nanti. Kita tak berada dalam kasut mereka. Jadi lebih elok kalau kita doakan yang baik-baik saja,” ujarnya lagi.