Pelakon hebat yang berbakat besar Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari ini sememangnya cukup dikenali dalam industri seni. Malah kebanyakan filem yang dibintangi olehnya sering mendapat sambutan hangat dan pecah panggung.
Bukan itu sahaja, Farid juga pernah memenangi dua anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular dan Anugerah Bakat Muda Seni Lakon Negara.
Umum mengetahui, suami kepada selebriti Diana Danielle ini pernah dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuklah kes dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap seorang anggota badan beruniform dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas.
Namun pun begitu, figura terkenal ini tidak pernah menyembunyikan diri sebaliknya beliau masih bergiat aktif dalam industri ini. Dalam pada itu, dia juga akan mengeluarkan filem arahannya iaitu Remp-it 2 yang akan ditayangkan pada 24 November ini.
Memetik sumber, Farid mengakui tidak menyesal dan menyifatkan perkara ini adalah ujian Allah untuk menguji tahap keimanannya walaupun dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh mahkamah serta gelaran Datuk ditarik balik.
“Ada banyak perkara positif yang dilalui saya sekarang antaranya berlakon di Indonesia dengan Christine Hakim dan Acha Septriasa dalam sebuah filem. Dalam al-Quran ada menyebut, bagaimana seseorang itu boleh mengaku dirinya beriman sedangkan dia tidak diuji?…” katanya.
Menurut pelakon ini, situasi yang menimpa dirinya itu masih di dalam kemampuannya untuk menangungung tanggungjawab atas apa yang terjadi.
“Saya bukan saja rasa tapi nampak perkara itu berlaku di depan mata. Itu menunjukkan bahawa ujian yang diberikan kepada saya, mampu atau tidak saya tanggung dan juga adakah keimanan saya cukup untuk saya bertanggungjawab di atas apa yang terjadi?..”
“Mungkin saya dah buat banyak perkara baik tapi saya tak boleh mengaku saya cukup beriman selagi tidak diuji. Maka ujian itu memberi satu perspektif yang baru dalam hidup saya secara menyeluruh..” ujarnya.
Sekadar info, pada 3 November 2012 Farid Kamil telah mendirikan rumah tangga bersama pelakon wanita Diana Danielle Danny Beeson. Hasil perkahwinan mereka dikurnikan dua cahaya mata Muhammad dan Nur Aurora.