Kemalangan sememangnya boleh berlaku pada bila-bila masa dan dimana sahaja malah rumah yang kita rasa tempat paling selamat untuk berteduh juga boleh mendatangkan bahaya.
Sama seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana penghuni rumah ini berdepan detik cemas apabila siling di bahagian ruang tamu rumah yang retak dan kemudian runtuh beberapa saat kemudian mencuri perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, seorang wanita yang dikenali sebagai Zafirah, 29, berkata, ketika itu dia dan keluarganya sedang mengemas rumah neneknya yang terletak di Kuala Berang, Terengganu dan mahu bersiap-siap pulang ke kediaman masing-masing.
“Rumah tersebut adalah rumah opah. Kami balik kampung untuk hantar opah ke Lapangan Terbang Kuala Terengganu kerana opah nak pergi umrah. Selesai hantar opah pada Ahad, kami balik rumah opah semula nak mengemas.”
“Pagi Isnin tu sambil mengemas, kami bersembang. Tiba-tiba terdengar bunyi macam orang ketuk dari atas. Rumah opah dua tingkat, dan tingkat atas tu sedang dalam pembinaan.
“Pelik sebab tak ada orang dekat atas masa itu. Selepas bunyi ketukan, kami perasan siling bahagian ruang tamu macam melendut sikit.
“Ketika itu kami duduk di bahagian tepi iaitu dalam rumah kayu yang bersambung dengan rumah batu. Anggapan kami, siling melendut sebab hujan lebat dan mungkin mendap lagi pula tingkat atas masih dalam pembinaan.
“Jadi saya terus capai telefon untuk rakam keadaan siling sebab nak tunjuk kepada bapa saudara,” ceritanya yang menetap di Wakaf Che Yeh, Kelantan.
Tambah Zafirah, beberapa ketika selepas dia membuat rakaman keadaan siling yang melendut, tiba-tiba mereka terdengar bunyi seperti retakan.
“Masa itu kami duduk di bahagian rumah kayu terus minta adik bongsu untuk tutupkan plug di bahagian ruang tamu. Memang tak expect tempat dia lalu-lalang itu akan runtuh sebab siling yang melendut tu dekat televisyen.
“Dia sempat tutup plug dekat ruang tamu, tapi waktu nak tutup plug di televisyen, bunyi retakan datang dari kawasan sekeliling hall.
“Beberapa saat kemudian terus siling runtuh dan mujurlah dia dah berhampiran rumah kayu dan terus berlari masuk dekat kami. Syukur Alhamdulillah, tak ada siapa yang tercedera.
“Mujurlah hanya siling yang runtuh dan bukannya dengan bumbung,” kata ahli perniagaan aksesori pakaian muslimah ini.
Zafirah berkata, punca insiden berkenaan berkemungkinan akibat berlaku kebocoran pada bahagian atap.
“Tak pasti masalah kontraktor atau apa. Tapi apabila tengok, besi pemegang pun reput dan berkarat. Tambahan pula ketika ini Terengganu dilanda hujan berterusan, jadi air hujan sentiasa mengalir… menjadikannya mendap.
“Hanya siling bahagian ruang tamu saja yang runtuh. Memang kami tak jadi pulang ke rumah masing-masing pagi tu sebab buat pembersihan dahulu.
“Sekarang ini kami buat wiring baru dahulu sebab agak mustahil untuk baiki siling lagi memandangkan masih ada leaking dan hujan berterusan.
“Kena bincang dan plan untuk baiki betul-betul, iaitu siapkan pembinaan tingkat atas dulu atau macam mana. Sebab tak nak ulangi benda sama,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.
“Mujurlah berlaku sewaktu opah tiada dan kami yang ada dekat rumah. Tak dapat bayangkan kalau siling runtuh waktu opah ada. Ruang tamu itu memang tempat opah banyak habiskan masa bersantai untuk menonton saluran kegemarannya, TV Alhijrah.
“Syukur juga ketika kejadian, tiada siapa antara kami yang cedera. Itulah hikmahnya.
“Saya memang tak sangka langsung video tu viral sebab rakam untuk tunjuk kepada ahli keluarga saja pada asalnya. Tak ada niat buat content langsung. Ada yang buat telahan macam-macam berdasarkan situasi video, dan saya harap penjelasan ini menjawab semuanya.
“Apapun sehingga kini opah masih tak tahu. Kami tak nak ganggu ibadah umrahnya… biarlah anak-anak dan cucu-cucu yang handle. Minggu depan dia pulang barulah beritahu pasal siling rumahnya yang dah viral satu Malaysia,” seloroh Zafirah.
Video yang tular: