Berkongsi rezeki ini sangatlah umum, bukan sahaja dari segi duit ataupun makanan namun boleh juga membantu orang lain dengan memberikan barang keperluan harian.
Mudah kata, amal jarah bukan diukur berdasarkan nilai wang ringgit atau jumlah harta yang dibelanjakan, sebaliknya kepada keikhlasan di hati.
Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang lelaki memberikan pelitup muka (face mask) kepada individu lain yang tidak dikenali menyentuh hati netizen.
Memetik laporan mStar, Nasrul Tajuddin, 30, berkata situasi pada 14 November lalu itu dirakam isterinya ketika dia mahu memasuki kereta selepas memberi barang di kedai berhampiran.
“Saya dan isteri adalah pengundi awal pada PRU15 baru-baru ini. Balik daripada mengundi kami singgah di satu tempat berdekatan kedai cat.”
“Pada ketika itu kami nampak pakcik tu. Lain macam kami tengok dia. Nampak macam dia tengah kutip something dekat dalam belukar.”
“Rupa-rupanya dia tengah ambil mask. Dia ambil mask yang dah kotor atas tanah tu dan bersihkan dengan tangan untuk dipakai semula,” cerita Nasrul yang merupakan seorang pegawai tentera
Nasrul yang melihat kejadian itu terus tergerak hati untuk memanggil lelaki tersebut dan memberikan pelitup muka baharu.
“Dalam kereta saya memang ada spare pelitup muka pun. Saya terus panggil dia dan bagi dekat dia.”
“Nampak dia tengah kelam-kabut nak kejar something. Dia terus ambil mask tu dan cakap terima kasih. Memang nampak dia macam memerlukan.”
“Rupanya dia nak pergi bank. Kebetulan bank tengah ramai orang sebab waktu tu tengah hari dan diwajibkan pakai mask kalau nak masuk,” katanya.
“Kami pun tak sangka video tu viral. Sebab yang record tu isteri saya. Akaun TikTok tu pun kami share berdua.”
“Untuk share content secara santai sahaja. Tiba-tiba boleh ‘meletup’ pula video tu,” terang Nasrul.
Video yang dimuat naik di akaun TikTok @nasrul_nana itu menunjukkan isterinya berbangga dengan keprihatinan yang ditonjolkan si suami.
“Proud of my husband,” tulis isterinya dalam video itu.
“Gembira itu memang gembira la. Kita buat video pun tak minta apa-apa tapi kalau dah viral Alhamdulillah.”
“Komen pun semua yang baik-baik saja.”
“Ada juga yang tanya location dekat mana nak pergi tolong sebab pakcik tu pun nampak macam orang susah.”
“Saya cakap dekat Gerik, Perak. Mereka kata jauh pula nak datang. Mungkin dengan berkat video ni, pakcik tu boleh ditolong,” kata Nasrul.
Video yang tular di laman TikTok: