Connect with us

Semasa

Negara Asia Pertama Dapat Vaksin COVID-19, Singapura Terima Penghantaran Pertama

Singapura menjadi negara pertama di Asia menerima vaksin yang dihasilkan Pfizer-BioNTech setelah menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 pada petang Isnin.

Menerusi laporan CNA, penghantaran tersebut diterbangkan menggunakan pesawat Singapore Airlines (SIA) 747-400 yang berlepas dari Brussels pada Ahad dan mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 7.36 petang.

Ketibaan vaksin tersebut disambut oleh Menteri Pengangkutan, Ong Ye Kung sebelum dipindahkan ke dalam kemudahan rangkaian sejuk SATS Ltd.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan pihak berkuasa Singapura meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech bagi membendung pandemik COVID-19 dan menjangka penghantaran pertama akan diterima akhir Disember.

Vaksin ini juga diterima seminggu sebelum republik itu melaksanakan pembukaan semula ekonomi fasa ketiga bermula 28 Disember ini.

Singapura merupakan antara negara terawal yang meluluskan dan menerima vaksin COVID-19.

Negara lain yang sudah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech adalah Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Switzerland, Bahrain dan Qatar.

Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pula sudah memulakan program vaksinasi.

Untuk rekod, program vaksinasi di Singapura adalah secara sukarela dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi seperti barisan hadapan termasuk petugas perubatan selain warga emas.

Menurut Lee sebelum ini, beliau dan barisan Kabinetnya juga antara penerima awal vaksin di negara itu bagi meyakinkan rakyat vaksin tersebut adalah selamat.

Dalam pada itu, Malaysia pula akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penghantaran pertama membabitkan sejuta dos vaksin itu akan dibuat pada suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri memaklumkan, bekalan itu akan diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer, hasil perjanjian pembelian awal ditandatangani kerajaan melalui Kementerian Kesihatan pada 24 November lalu, dan bakal diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Katanya, perjanjian itu bertujuan memastikan kerajaan ada akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan, selain menjamin akses terhadap vaksin berkenaan jika sedia untuk diedarkan syarikat terbabit.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.