Pelakon tampan Zul Ariffin akan menamatkan zaman bujang tahun depan selepas dia dan kekasihnya benar-benar bersedia dalam segenap aspek.
Walaupun tidak mendedahkan identiti bakal isterinya, pelakon filem J Revolusi itu memberi bayangan wanita yang akan menjadi suri hidupnya itu bukan selebriti.
Gadis yang berjaya mencuri hati Zul juga ialah seorang bukan beragama Islam buat masa sekarang.
“Buat masa ini, saya nak bakal isteri saya mengenal agama Islam secara lebih mendalam dan ikhlas untuk memeluk Islam.
“Jika dia berniat memeluk Islam sebab nak berkahwin dengan saya, perkara itu tidak akan berlaku kerana saya tidak izinkan. Saya sudah jelaskan perkara ini kepadanya,” katanya seperti dilaporkan portal Harian Metro pada Khamis.
Menurut Zul yang bakal muncul dalam filem terbaharu Sangkar sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai serta pelakon cantik Zahirah MacWilson.
Bahkan, aktor itu juga pernah diheret dalam skandal dengan seorang wanita yang berasal dari Ukraine.
Zul, bagaimanapun, menafikan mempunyai hubungan dengan wanita berkenaan, sebaliknya, hanya berkenalan ketika bercuti di Thailand.
Pelakon berusia 33 tahun itu enggan berkongsi identiti bakal isterinya.
“Pilihan sudah ada, cuma saya akan kongsikan siapa orang itu apabila sudah sampai waktunya nanti. Tidak perlu teka siapa gerangan wanita itu, nantikan berita itu tahun depan,” ujar Zul lagi dipetik sebagai berkata.
Kata Zul, dia akan memberi tumpuan pada hari penting dalam hidupnya itu kerana enggan perkahwinannya itu kelak menjadi huru-hara.
“Saya tidak mahu perkahwinan menjadi huru-hara jika saya tidak bersedia. Kalau saya berkahwin nanti saya nak berubah terus.
“Saya nekad untuk menjadikan perkahwinan sebagai satu tanggungjawab berat yang perlu saya galas. Sebaik melangkah ke gerbang perkahwinan saya akan tinggalkan segala apa yang tidak baik sebelum ini.
“Memilih untuk memperisterikan wanita bukan Islam bukan perkara mudah. Sebelum nak membimbing dia ke arah kebaikan, saya kena jadi lebih bagus. Sekarang saya sedang membuat persiapan ke arah itu. Doakan semoga semuanya berjalan dengan baik. Saya nak rumah tangga yang bakal dibina nanti mengikut apa yang saya harapkan,” kata Zul.
Semoga perancangan Zul Ariffin menjadi kenyataan.