Connect with us

#MalaysiaBaru

Pangkat ‘Rendah’ Tapi Pakai Kereta Mewah, 27 Anggota Imigresen Kantoi

Seramai 46 orang termasuk 27 pegawai imigresen ditahan susulan dakwaan penyalahgunaan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara. Sindiket tersebut berjaya dipatahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan.

Menerusi laporan Harian Metro, sebanyak 21 kenderaan mewah pelbagai model milik kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah disita SPRM untuk siasatan lanjut.

Menurut laporan lagi, antara model mewah yang dirampas adalah Nissan Skyline R35, Subaru, Toyota Alphard, Hyundai Starex, Honda Accord, Mitsubishi Lancer dan lain-lain kenderaan import termasuk 4 motosikal berkuasa tinggi milik kakitangan JIM yang direman.

Siasatan susulan dilakukan SPRM turut menemui wang tunai berjumlah RM132,000 selain turut menyita wang di dalam akaun bank milik kakitangan JIM berjumlah RM616,499.

Sumber kepada Harian Metro berkata, ejen atau orang tengah dipercayai menggunakan wang dan kereta mewah untuk membeli hati kakitangan imigresen untuk memudahkan urusan keluar dan masuk pekerja asing bermasalah sejak 2017.

Katanya lagi, hasil siasatan SPRM mendapati sindiket ini sudah membelanjakan sehingga RM14.5juta untuk menyogok pegawai imigresen sejak 4 tahun lalu.

Ini dibuktikan apabila ada antara kakitangan JIM berpangkat rendah ditahan memiliki wang simpanan dalam jumlah tidak masuk akal serta kenderaan mewah. Bagi mengaburi pihak berkuasa, individu dikenal pasti sebagai orang tengah atau ejen kegiatan haram ini mendaftarkan kenderaan mewah menggunakan nama individu lain.

Ini jelas melangkaui pendapatan individu terbabit yang hanya menduduki Gred KP19.

Malah, siasatan turut menjurus kepada kehidupan mewah dikecapi termasuk kerap melancong ke luar negara.

Menurut sumber, susulan penahanan 27 anggota JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam, SPRM sangat serius dalam usaha membongkar kegiatan rasuah yang dilakukan segelintir anggota.

“Ahli sindiket yang ditahan termasuk 27 pegawai Imigresen, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah berusia antara 21 dan 46 tahun.

“Sindiket ini telah menjalankan aktiviti mereka sejak setahun yang lalu dan berada di bawah radar pemantauan SPRM sejak bermulanya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lepas,” kata sumber itu.

Menurut sumber, aktiviti rasuah dalam kalangan anggota sindiket itu menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan dan ia menumpukan pekerja asing dan pekerja tanpa izin yang terkandas di negara ini akibat PKP.

“Banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau migran untuk pulang ke negara asal mereka.

“Modus operandi sindiket ini ialah menerusi dua kaedah iaitu flying pasport atau pasport terbang iaitu ejen akan mengumpul pasport pekerja asing atau migran yang menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja yang telah tamat tempoh untuk dicap keluar dan masuk bagi membolehkan visa lawatan disambung,” katanya.

Sumber berkata, hanya pasport yang sampai di pejabat imigresen tanpa kehadiran pemilik pasport sebagai pengesahan keluar atau masuk sepertimana yang disyaratkan.

“Modus operandi yang kedua ialah setting counter khususnya di KLIA dan klia2, iaitu pendatang tanpa izin yang disenaraihitamkan, yang telah tamat tempoh visa perjalanan dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM6,000 seorang untuk bebas masuk dan pulang ke negara masing-masing.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.