Ketika memandu di jalan raya, pasti ada sahaja pemandu yang berperangai aneh sehingga menyusahkan orang ramai. Ada yang memandu dengan berbahaya, ada juga samseng jalanan yang gemar mencari gaduh.
Lebih teruk jika mangsa keadaan ini adalah kaum wanita. Sering kita lihat di mana-mana wanita sering menjadi mangsa buli di jalan raya oleh pemandu lelaki.
Sama seperti yang dialami oleh seorang wanita yang dikatakan sedang mengandung ini apabila dia tiba-tiba diserang oleh pemandu lelaki ketika dia berada di dalam kereta.
Menerusi video yang dikongsikan oleh IRDK Respond Team di Facebook, lelaki itu memberhentikan kereta berjenama Toyota Vios, berwarna putih yang dipandunya di tengah simpang sebelum meluru ke arah kereta di belakangnya.
Lebih memeranjatkan, lelaki itu bukan datang menyerang dengan tangan kosong tetapi membawa sebilah pisau yang disembunyikannya di bawah kain berwarna biru, bertujuan memecahkan cermin tingkap kereta wanita tersebut.
Perbalahan di antara lelaki dan wanita yang menggunakan dialek Kelantan itu memperdengarkan ketidakpuasan hati pemandu lelaki terhadap pemandu wanita kerana dikatakan mengubah laluan ke kiri dan ke kanan sehingga kereta yang dipinjam melanggar sesuatu.
Oleh kerana wanita itu tidak mengendahkan perbuatannya, lelaki berkenaan turun daripada kereta dan menetak cermin tingkap kereta selepas cubaannya membuka pintu kereta gagal.
Wanita tersebut juga sempat merakam situasi tegang yang berlaku menggunakan telefon bimbit untuk dijadikan sebagai bahan bukti kepada pihak berkuasa sebelum menyuarakan hasrat membawa kes ini ke balai polis.
Pun begitu, lama-kelamaan setelah beberapa minit bertengkar antara satu sama lain, keadaan menjadi reda. Malah emosi lelaki tersebut mula stabil dan hanya mahu insiden itu diselesaikan tanpa campur tangan pihak polis.
Dia juga mahu membayar cermin yang dipecahkan manakala wanita itu membayar ganti rugi kerosakan keretanya. Mujur kedua-keduanya tidak mengalami sebarang kecederaan terutama sekali wanita yang diserang oleh pisau tersebut.
Video yang tular di laman Facebook