Pelakon terkenal Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi kini melibatkan diri dalam penternakan kerbau.
Menerusi laporan Kosmo, Amerul Affendi yang banyak membintangi filem seperti Paskal, Bunohan dan Polis Evo memberitahu industri penternakan amat berpotensi dan dia tidak kekok untuk melibatkan diri menternak kerbau.
Saya budak kampung
Amerul mengaku sebagai budak kampung, beliau sudah biasa dengan haiwan ternakan sedari kecil lagi.
“Saya memang budak kampung dan dari kecil lagi biasa dengan haiwan ternakan kerana datuk saya memelihara lembu, jadi tidak timbul soal kekok dan saya lihat penternakan punyai potensi yang besar.
“Sekarang saya mempunyai kira-kira 27 ekor kerbau yang diternak di kawasan Kampung Kelibau dan saya bertekad terus meningkatkan lagi jumlahnya dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jelajah Agropreneur Muda Peringkat negeri di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini.
Terima geran bantuan
Dalam majlis tersebut, Amerul Affendi menerima geran bantuan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Menurutnya, pada peringkat awal dia hanya menternak dua ekor kerbau kira-kira empat tahun lalu dengan membuat kandang menggunakan kayu terpakai dan jumlah kerbau terus meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, cabaran yang dilaluinya dalam penternakan kerbau hanyalah apabila kandang pecah sehingga perlu mencari kerbau selain ancaman daripada pencuri haiwan ternakan.
“Kalau ada penggambaran, ayah saya akan tolong jaga kerbau. Kalau musim hari raya pula, perhatian lebih perlu diberikan bagi mengelakkan dicuri.
“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang memberikan bantuan geran yang akan saya gunakan sebaik mungkin khususnya membaiki kandang,” ujarnya.
Terdahulu, Amerul menyedari pihak stesen televisyen tidak mahu mengambilnya berlakon selagi pengikutnya di laman sosial tidak mencecah lebih 500,000.
Susulan Amerul meminta pendapat netizen mengenai apa yang perlu dilakukan memandangkan dia enggan menggunakan jalan pintas dengan membeli pengikut.
“Nak beli follower saya rasa menipu pihak stesen televisyen pula. Bukan ke itu berdosa?
“Instagram baru ada 100,000 followers. Maknanya lambat lagi stesen televisyen nak ambil berlakon dalam produksi mereka. Sebab depa (mereka) kata 500,000 baru dipertimbangkan.
“Nak beli followers saya rasa menipu pihak stesen televisyen pula. Bukan ke itu berdosa? Jadi apa patut saya buat?” tulis Amerul di Twitter miliknya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya memberitahu biarpun dia tidak muncul di televisyen namun bakatnya sentiasa dihargai peminat.