Sebuah kedai makan yang dinamakan sebagai Restoran Roti Canai Janda di Kampung Baru Derang, Pokok Sena menjadi tumpuan pelanggan termasuk dari luar daerah ini sejak tiga tahun lalu.
Menerusi laporan Utusan, pemilik restoran itu, Norasiah Abdul Rahman, 47, dan anaknya merupakan dua beranak berstatus janda.
Menggunakan slogan ‘Nikmatnya Tak Terlupa’, kedai makan ini menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan pintas dari Pokok Sena ke Bandar Darulaman, Jitra.
Sogan tarik perhatian
Menurut Norasiah yang sudah berpisah dengan suaminya sejak 2007, dia mengakui slogan itu memikat ramai pelanggan untuk menikmati roti canai yang ditebarnya sendiri.
Norasiah turut dibantu anak sulungnya, Nurul Nadia Ismail, 27, yang juga seorang janda selepas ditinggalkan suaminya awal tahun ini.
“Nama restoran ini diberi berdasarkan status saya sebagai janda dan setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya.
Sehari 400 biji roti canai
Dalam sehari, Norasiah mampu menjual kira-kira 400 biji roti canai dan antara sajian popular di restoran itu ialah roti canai sarang burung serta roti doll.
“Roti canai itu saya sendiri yang tebar dan kuah serta sambal pun saya masak sendiri,” katanya.
Norasiah mempunyai tiga orang anak termasuk anak kedua bernama Nurul Hidayah, 26, yang sudah berumah tangga dan menetap di Kuala Lumpur dan anak ketiga Mohd. Ariff Fahami, 21, yang tinggal bersama bekas suaminya.
Pelanggan datang seawal 5 pagi
Norasiah memberitahu, selain itu, antara menu lain yang dijual di restorannya ialah laksa, nasi campur dan pulut ikan kering.
Katanya, restorannya itu dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 6 pagi hingga 1.30 petang.
“Bagaimanapun, ada beberapa pelanggan mula menunggu untuk minum dan makan di restorannya seawal pukul 5 pagi,” tambahnya.
Kecewa dengan persepsi
Pada masa sama, Norasiah meluahkan kekecewaannya apabila terdapat segelintir masyarakat yang yang membuat pelbagai persepsi apabila menamakan restorannya itu dengan perkataan ‘janda’.
“Saya juga berdepan usikan pelanggan lelaki, namun saya tidak mengendahkannya dan menganggap mereka sebagai pelanggan sahaja,” katanya.
Namun begitu, semangatnya tidak luntur berhadapan dengan tohmahan masyarakat kerana dia mahu mencari rezeki yang halal bagi menyara kedua ibu bapanya, Abdul Rahman Hashim dan Sofiah Ibrahim, masing-masing berusia 75 tahun.
Rata-rata netizen mendoakan perniagaan Norasiah dan anaknya dan ada juga yang menasihati agar tidak menghiraukan segala komen yang tidak bermanfaat.