Terdahulu, penyanyi yang menjuarai pertandingan Ceria Posptar musim kedua Masya Masyitah telah mengeluarkan single terbaharunya yang bertajuk “Simpanan”. Klip video tersebut mencuri tumpuan ramai apabila dirinya menerima kecaman yang hebat oleh netizen di platform media sosial mengenai penampilannya yang tidak bersesuaian dengan imej seorang wanita Islam menerusi perkongsian di laman Instagram.
Susulan isu berkenaan, Masya Masyitah atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah binti Mohd Yusoff tampil menjelaskan berkenaan komen negatif yang diterimanya.
Memetik laporan Gempak, penyanyi ini mengatakan lagu dan klip video “Simpanan” menerima respons yang baik oleh peminatnya. Namun, terdapat segelintir warganet yang tidak berkenan dengan penampilanya yang ditampilkan di dalam video tersebut. Manakan tidak, Masya Masyitah juga dilihat memakai tindik di bahagian hidung.
Menurut Masya, dia hanya mengikuti kehendak pihak produksi untuk menjayakan video klip “Simpanan”. Bukan itu sahaja, mereka juga meminta dirinya untuk mencuba gaya ‘groovy’.
“Penerimaan peminat ada ok, ada tak ok tapi mostly banyak yang ok. Dari segi pemakaian sahaja orang ramai yang tak berapa setuju sebab saya berhijab.Saya berimej begitu kerana mengikut kehendak klip video. Lebih-lebih lagi tajuk lagu pun Simpanan, jadi orang kata nak cuba gaya yang lebih groovy sedikit” katanya.
Pun begitu, penyanyi ini juga menjawab persoalan imejnya memakai tindik di hidung itu lalu disamakan dengan lembu oleh netizen. Masya Masyitah juga mengakui dia gemar mengikuti trend fesyen terkini.
“Saya tak nak kata apalah..sebenarnya, ada betulnya juga. Jujurnya, saya suka tengok trend fesyen sekarang dan untuk pengetahuan, saya tidak menindik hidung saya secara kekal. Ia merupakan tindik palsu yang pakai buang… nak bagi nampak ‘jahat’ dalam klip video.”
Walau bagaimanapun, dia menerima teguran yang diberikan oleh netizen dan akan mencuba untuk memperbaiki dirinya untuk ke arah yang lebih baik.
“Kalau tentang komen netizen, saya tak hiraukan dan tak balas sebab kalau nak jawab, kita pun tahu hukum hakam. Saya dah terima dan ambil risiko pakai macam tu, jadi saya tak bolehlah bising
sangat. Bila mereka tegur, saya terima dan perlahan- lahan cuba ubah ke arah yang lebih baik” ujarnya.