Penemuan satu mayat kanak-kanak perempuan di tepi jalan telah mengejutkan orang ramai.
Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki dan dua wanita warga asing telah ditahan bagi membantu siasatan kes ini.
Suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kes mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui ini.
Mangsa ditemui di hadapan sebuah kedai
Difahamkan, mayat kanak-kanak perempuan tersebut ditemui di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Memanda 3, Ampang, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengawal keselamatan yang memaklumkan menemui mayat kanak-kanak itu di lokasi kejadian pada jam 9.50 pagi.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang botak itu berusia dalam lingkungan enam tahun dan berpakaian lengkap”.
Mangsa pemegang kad UNHCR
“Mangsa yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditemui dalam keadaan terbaring di atas bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu menurut Noor Azmi lagi, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa mendapati ada kesan lebam di beberapa anggota badan termasuk lengan dan badan.
Dipukul dengan objek tumpul kerana enggan makan
“Mangsa dipercayai dipukul ayah tirinya menggunakan objek tumpul kerana dikatakan enggan makan”.
“Kanak-kanak itu disyaki dipukul hingga menyebabkan kematian di lokasi lain dan dibuang oleh suspek di tempat mayatnya ditemui”.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya.
Ketiga-tiga suspek pemegang kad UNHCR
Tambahan beliau lagi, pihaknya berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki dan dua wanita warga asing yang juga pemegang kad UNHCR selang 30 minit selepas maklumat kejadian diterima.
“Tangkapan tiga suspek itu dilakukan di sebuah hotel di Jalan Memanda 5 yang juga lokasi mangsa disyaki dipukul”.
“Kesemua suspek itu berusia antara 17 hingga 63 tahun dan merupakan pemegang kad UNHCR,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Semoga segala kebenaran terbongkar dan pesalah yang melakukan perbuatan itu mendapat hukuman yang setimpal