Beberapa tahun lalu, kes penceraian pelakon Fizo Omar dan bekas isterinya Mawar Karim menjadi bualan ramai.
Tambahan pula dengan ‘cakap-cakap’ netizen yang mendakwa punca perpisahan Fizo adalah kerana terlalu melebihkan ibu.
Menerusi episod kelapan Borak Kelamin yang akan ditayangkan pada malam ini, Fizo secara eksklusif memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
“Tidak pernah keluar mana-mana kenyataan daripada mana-mana pihak yang berkaitan dengan ibu belah saya atau belah Mawar.
“Tapi mungkin bila kita ambil pendekatan untuk berdiam diri, jadi keluarlah macam-macam spekulasi.
“Jadi pada saya tak perlu saya menjawab, tak perlu saya mengiya dan menidakkan, biarlah benda itu antara rahsia saya dan mawar.
“Bagusnya saya dan Mawar terus berdiam diri tanpa membuka pekung atau membuka aib mana-mana pihak. Sebab semua orang ada salah semua orang ada kebaikan dia.
“Jadi nak buat assumption… Terpulang pada orang dan pada saya, kami lebih tahu apa yang berlaku,” tegasnya.
Jelas Fizo lagi, ibunya juga tidak pernah campur tangan dalam membuat keputusan atau apa sahaja perkara yang berkaitan dengan hal rumah tangga mereka.
“Mak saya tak pernah campur tangan, jenis yang diam dan tak ambil tahu. Jika kami bergaduh pun mak tidak tahu.
“Pada mulanya saya simpan, tetapi bila duduk serumah ni orang tua, dia lebih makan garam, lebih tahu dan syak. Jadi kalau boleh cuba elakkan.
“Macam saya, saya cuba elakkan. Saya tak akan cerita sebab bila kita cerita, kita tengah panas tengah marah, semua tentang dia jadi tak betul dan semua berkenaan kita betul.
“Jika ingin bercerita atau perlukan seseorang untuk berkongsi sebaik-baiknya biarlah reda dahulu, fikir positif. Boleh nak bercerita tetapi pada pandangan saya biarlah sejuk dahulu.
Terdahulu, Fizo berkata, perceraian secara baik itu dibuat bersama kerana dirinya dan Mawar sudah tiada keserasian sebagai pasangan suami isteri selain tiada persefahaman lagi.
“Cukup untuk saya katakan jodoh saya dan Mawar berakhir di sini.
“Pada saya, ini bukan pengakhiran tetapi satu permulaan kami menjadi ibu bapa bersama dalam menjalankan tanggungjawab untuk membesarkan anak kami, Wan Maryam,” katanya selepas selesai prosiding lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.
Fizo melafazkan cerai terhadap Mawar pada 10.55 pagi di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan.
Menurut Fizo, dia masih menyayangi dan mengasihi Mawar kerana wanita itu adalah isteri dan ibu yang baik kepada anak mereka, Wan Maryam yang berusia dua tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Mawar malah banyak terhutang budi padanya.. dia sangat baik.
“Kami berdua juga akan kekal berkawan baik demi Maryam,” katanya.
Ketika disoal mengenai hak penjagaan Wan Maryam, Fizo berkata, dia tidak merancang merebut hak penjagaan itu.
“Hak penjagaan anak saya serahkan kepada Mawar.
“Saya tidak akan pisahkan mereka,” katanya.
Seperti Mawar, Fizo juga menyatakan dirinya bersedia untuk menjadi pasangan ibu bapa yang terbaik untuk anak mereka.
Terdahulu, dalam prosiding lafaz cerai itu, Fizo dilihat sebak ketika memohon maaf kepada Mawar dan ibu bapa Mawar yang turut hadir dalam prosiding itu.
Media sebelum ini melaporkan Fizo dalam satu kenyataan memberitahu dia belum bersedia untuk memperincikan desas-desus berhubung kemelut rumah tangga apabila isterinya dilaporkan sudah mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara itu.
Pasangan itu diijabkabulkan pada November 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.