Keadaan rumah seorang penuntut dikenali sebagai Maznah Ismail di Dangi, Kuala Pilah tular apabila dia dihantar pulang selepas terkandas di kampus sejak penularan COVID-19.
Menerusi foto yang menjadi tular di laman Facebook, khemah usang itu didiami abang kandungnya, Radzuan Ismail bersama isteri dan enam anak termasuk anak sulung berusia 22 tahun yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Selangor.
Maznah merupakan seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dikenal pasti sebagai penuntut tahun akhir program PhD di Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, universiti berkenaan.
Di dalam satu kenyataan Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM di laman web rasminya, penuntut itu turut sudah menerima biasiswa dana penyelidikan yang meliputi yuran dan sara hidup.
Katanya, penuntut berkenaan juga sudah diberi peluang bekerja sambil belajar sebagai pembantu penyelidik pelajar (SLPP RA) sebaik tempoh biasiswa tamat.
“Beliau menerima biasiswa (Dana Universiti Penyelidikan) daripada semester dua hingga enam pengajian meliputi yuran dan kos sara hidup, selain zakat daripada UTM.
“Penuntut itu juga pernah dibenarkan menangguhkan pengajian selama dua semester atas sebab kesihatan.
“UTM sudah menghubungi penuntut berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut supaya bantuan tambahan dapat diberikan, berdasarkan kelayakan,” katanya.
Menurut kenyataan, UTM prihatin dengan aspek kebajikan penuntut selain menghargai keprihatinan semua pihak terhadap penuntutnya.
Malah UTM juga memohon jasa baik semua pihak agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih, tanpa mengetahui perkara sebenar bagi menjaga kesejahteraan bersama.
Dalam pada itu, Ustaz Ebit Lew turut sama memberikan bantuan kepada keluarga berkenaan.
“Sebak dari semalam lihat gambar rumah keluarga ini di Malan N.Sembilan. Selepas sahur terus ke sana. Syukur saya bersama ketua kampung dan ahli kariah membantu saya berjumpa abang ini.
“Mereka semua ambil berat hal abang ini. Bila sampai dekat rumah tengok rumah terus rasa nak menangis. Keluarga ini semua kenal saya. Terima kaseh ustaz datang jauh-jauh. Rezeki bertemu disini.
“Beliau bersama isteri dan 2 anak kecilnya duduk disini semenjak PKP ini. 2 anak di universiti. Sebelum ini beliau cuma seorang diri sebab kerja di kilang di Malan. Gaji kecil. Mereka ada rumah asnaf di Selangor oleh zakat selangor.
“Mereka tersangkut terus disini sebab PKP. Ini tapak rumah arwah mak ayahnya yang terbakar 2015. Sedang menunggu keputusan memohon rumah pprt. Mereka bersyukur dan jenis tidak meminta-minta. Tenang jer. Tadi sampai tengah mengaji Al-Quran.
“Saya datang nak cari rumah sementara tapi saya dimaklumkan yb dan penduduk setempat akan menguruskannya. Jadi saya beri duit belanja pada abang ini.
“Pagi ini Yb setempat kata pada tuan rumah akan uruskan hantar keluarga ini balik ke klang dulu. Mereka siapkan van. Terima kaseh pada Yb dan penduduk setempat yang akan menguruskan semuanya.
“Syukur Alhamdulillah Yb, DO, zakat selangor, BaitulMal Negeri Sembilan membantu menghantar bantuan. Syukur Alhamdulillah. Syukur. Semoga Allah mudahkan semuanya.
“Saya doakan rumah kecil abang ini dapat dibina selepas pkp ini.”